Selasa, 27 Februari 2018 | 8:32am
COMAN (kiri) dijangka tidak akan beraksi selama beberapa minggu selepas menjalani pembedahan buku lali. FOTO/AFP

Bayen hilang khidmat Coman

BERLIN: Pemain sayap Bayern Munich Kingsley Coman menjalani pembedahan buku lali dan dijangka tidak akan beraksi selama beberapa minggu, menurut pendahulu Bundesliga itu hari ini.

Ligamen buku lali kiri pemain Perancis itu terkoyak ketika aksi menentang Hertha Berlin kelmarin yang berkesudahan seri tanpa jaringan.

Bayern hanya memberitahu Coman tidak akan beraksi selama beberapa minggu.

Bagaimanapun akhbar harian sukan Perancis L'Equipe mendakwa dia mungkin tidak boleh bermain selama sekurang-kurangnya dua bulan, malah bakal terlepas peluang beraksi pada Piala Dunia di Russia, Jun ini.

Coman, pemain gantian pada separuh masa kedua sewaktu perlawanan menentang Hertha terpaksa bertahan di padang selepas mengalami kecederaan akibat berlanggar dengan Mathew Leckie memandangkan Bayern sudah membuat tiga pertukaran.

Kecederaan Coman bermakna Bayern kini memiliki tiga pemain sayap iaitu Thomas Mueller, Arjen Robben dan Franck Ribery.

Robben dan Ribery, kedua-duanya berusia 34 tahun bakal tamat kontrak akhir musim ini dan masih belum ditawarkan kontrak lanjutan oleh kelab gergasi Jerman itu.

Bayern kini menghampiri suku akhir Liga Juara-Juara selepas membelasah Besiktas 5-0 pada aksi pertama 16 pasukan terakhir di Munich Selasa lalu, di mana Coman juga mencatat nama selaku penjaring. - AFP

Berita Harian X