X
Rabu, 21 Februari 2018 | 7:02pm
ISTERI bekas penjaga gol kebangsaan, mendiang Chor Chee Keong, Christina Kwok (dua dari kiri) menerima kad keahlian YAKEB daripada Pengurus Operasi YAKEB, Aminuddin Mohd Nasir, sehari sebelum suaminya meninggal dunia di PPUM. - Foto YAKEB
ISTERI bekas penjaga gol kebangsaan, mendiang Chor Chee Keong, Christina Kwok (dua dari kiri) menerima kad keahlian YAKEB daripada Pengurus Operasi YAKEB, Aminuddin Mohd Nasir, sehari sebelum suaminya meninggal dunia di PPUM. - Foto YAKEB

Mendiang Chow Chee Keong ahli YAKEB

KUALA LUMPUR: Bekas penjaga gol kebangsaan era 1960-an, Chow Chee Keong sempat mendaftar sebagai ahli Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB), semalam.

Pengurus Besar YAKEB, Zuhairi Abdul Manaf berkata, pihaknya masih terkejut dengan pemergian mendiang dan segala maklumat berkaitan keahlian berjaya dilengkapkan semalam.

"Semalam kami ke hospital melawat mendiang. Saya mewakili pihak YAKEB mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang.

"Ketika kunjungan kami ke hospital, segala maklumat berkaitan mendiang berjaya dilengkapkan.

"Sebagai ahli, mendiang layak terima pampasan kematian di bawah Skim Bantuan Khas YAKEB," katanya ketika ditemui di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Chee Keong dilahirkan pada 26 November 1948, meninggal dunia kira-kira jam 7 pagi tadi di PPUM.

Mendiang mula menyarung jersi skuad bawah 20 tahun negara ketika berusia 13 tahun dan dua tahun selepas itu terpilih membarisi skuad utama kebangsaan, bergelar antara pemain termuda berjaya berbuat demikian.

Mulai 1965, namanya mula masyhur dan dinobatkan Penjaga Gol Terbaik Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) untuk lima tahun berturut-turut  dari 1966 hingga 1970

Chee Keong sempat bermain di beberapa kejohanan besar seperti Pestabola Merdeka dan Kelayakan Piala Dunia pada era 80-an. Ketika bergelar pemain, Chee Keong pernah beraksi di Hong Kong iaitu mewakili Hong Kong Rangers FC bagi tiga perlawanan sebagai pemain undangan dan pada 1970, sebelum menyertai kelab Jardines.

Kemudiannya, mendiang menyertai kelab South China AA selama tiga musim dan pada 1974, berpindah ke Tung Sing sebelum kembali ke South China dan tiga tahun kemudian menyertai Hong Kong Rangers FC.

Berita Harian X