Rabu, 21 Februari 2018 | 3:48pm
DALI anggap Chee Keong miliki pakej lengkap.
DALI anggap Chee Keong miliki pakej lengkap.

Chee Keong macam Superman: Dali

KUALA LUMPUR: "Senang cerita, dia macam Supermanlah!" kata bekas rakan sepasukan mendiang Chow Chee Keong, Dali Omar.

Bekas pemain kebangsaan era 70-an itu mengakui susuk tubuh yang tinggi lampai dan keberanian yang dimiliki bekas penjaga gol HK Rangers itu membuatkan dia mampu menjadi 'benteng terakhir' yang begitu ampuh dan sukar untuk ditewaskan.

Pujian melambung yang dilontarkan Dali itu dilihat sememangnya berasas apabila Chee Keong dinobatkan selaku Penjaga Gol Terbaik Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) untuk lima tahun berturut-turut bermula dari tahun 1966 hingga 1970.

"Kalau dinilai daripada fizikal Chee Keong, tidak dapat dinafikan dia ada pakej yang lengkap sebagai penjaga gol. Meskipun dia boleh dikatakan agak pendiam, semangatnya begitu tinggi dan dia cukup berani ketika berada di atas padang.

"Ketangkasannya begitu cemerlang dan jika penyerang lawan sekadar memiliki teknik yang biasa saja atau tidak begitu berpengalaman, memang sukar untuk menewaskannya.

"Setakat ini, tiada lagi penjaga gol yang saya lihat berada pada kelas yang pernah ditunjukkan oleh Chee Keong sebelum ini. Dia sememangnya penjaga gol nombor satu Malaysia," katanya ketika dihubungi hari ini.

Pernah berkongsi padang bersama Chee Keong sebagai rakan sepasukan dan juga seteru, Dali kembali mengimbas pertembungan final Piala Malaysia 1966 yang menemukan pasukannya, Tentera dengan pasukan diwakili Chee Keong, Selangor.

"Pada aksi final itu, Chee Keong menunjukkan persembahan yang begitu sempurna. Ke sana ke sini dia 'terbang' untuk menafikan percubaan daripada pasukan yang saya kemudi.

"Akhirnya, rezeki tidak berpihak kepada Tentera apabila Selangor meraih kejuaraan menerusi kemenangan 1-0," katanya.

Bekas penjaga gol kebangsaan era 1960-an itu meninggal dunia pada jam 7 pagi tadi di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Dia yang menghembuskan nafas terakhir pada usia 69 tahun itu mula membarisi skuad bawah 20 tahun negara (B-20) pada usia 13 tahun sebelum muncul sebagai antara pemain termuda menyarung jersi skuad utama kebangsaan apabila berbuat demikian pada usia 15 tahun.

Berita Harian X