Khamis, 15 Februari 2018 | 5:39pm
KIM Swee (kiri) dan Cheng Hoe mahu pemain kebangsaan tingkat kualiti.
KIM Swee (kiri) dan Cheng Hoe mahu pemain kebangsaan tingkat kualiti.

Permintaan Tahun Baharu Cina Cheng Hoe, Kim Swee

KUALA LUMPUR: Peningkatan kualiti skuad bola sepak kebangsaan menjadi permintaan Tahun Baharu Cina buat dua jurulatih, Tan Cheng Hoe dan Datuk Ong Kim Swee.

Bagi Cheng Hoe yang dilantik ketua jurulatih skuad kebangsaan pada Disember lalu, permintaan utamanya adalah pasukan kendaliannya menamatkan deretan 10 perlawanan tanpa kemenangan apabila bertemu Mongolia dalam aksi persahabatan pada 22 Mac depan.

"Saya mengharapkan semua orang memperoleh kesihatan dan kegembiraan pada Tahun Baharu dan untuk bola sepak, saya berharap untuk melakukan yang terbaik sebagai seorang jurulatih," kata Cheng Ho yang mengambil alih tugas berkenaan selepas peletakan jawatan Nelo Vingada.

"Saya yakin pasukan akan bertambah baik pada tahun ini berbanding tahun lalu dan mampu untuk mencapai sesuatu bermula dengan perlawanan Piala Asia menentang Lubnan. Lebih utama kami mahukan kemenangan dalam perlawanan selepas sekian lama."

PEMAIN Harimau Malaya perlu tingkatkan prestasi. FOTO/FAIL
PEMAIN Harimau Malaya perlu tingkatkan prestasi. FOTO/FAIL

Malaysia tidak pernah memenangi perlawanan sejak menewaskan Kemboja 3-2 di kejohanan Piala AFF pada November 2016 tetapi perlawanan persahabatan menentang Mongolia di Bukit Jalil menawarkan Cheng Hoe peluang untuk menebus kehampaan.

Selepas perlawanan itu, skuad kebangsaan akan berkunjung ke Beirut bagi aksi terakhir kelayakan Piala Asia Kumpulan B menentang Lubnan pada 27 Mac.

Bagi Kim Swee, permintaannya adalah untuk melihat skuad kebangsaan negara di semua peringkat umur meneruskan prestasi baik mereka seperti yang ditampilkan dalam beberapa kejohanan kebelakangan ini.

Malaysia mara ke suku akhir Piala AFC Bawah 23 Tahun di China, bulan lalu selepas memenangi pingat perak di Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur.

Selain itu, kedua-dua pasukan di peringkat Bawah 19 Tahun dan 16 Tahun juga akan beraksi di pusingan akhir Piala AFC di bawah peringkat umur masing-masing, tahun ini.

"Permintaan saya pada tahun ini adalah skuad kebangsaan di semua peringkat usia berterusan menunjukkan peningkatan dan menampilkan ketabahan dalam apa saja yang mereka lakukan," kata Kim Swee yang tugasan berikutnya adalah Sukan Asia di Indonesia, Ogos ini.

"Saya tidak menetapkan sebarang sasaran tertentu untuk Piala Asia tetapi kami berharap untuk melakukan sebaik mungkin."

Berita Harian X