X
Jumaat, 9 Februari 2018 | 9:52pm
BIBI (kanan) bersama pemain import, Bruno Lopes (kiri) bergambar bersama peminat. FOTO/FATHIL ASRI
BIBI (kanan) bersama pemain import, Bruno Lopes (kiri) bergambar bersama peminat. FOTO/FATHIL ASRI

Bibi janji 'tak lepas tangan'

KOTA BHARU: Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilias Khan berjanji akan menyelesaikan kes tunggakan gaji pemain yang belum diselesaikan termasuk yang dilaporkan kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).   

Bibi Ramjani yang mengambil alih teraju kepimpinan KAFA musim lalu juga memberi jaminan tidak akan melepaskan tangan walaupun kes tunggakan gaji itu berlaku sebelum beliau menerajui badan induk itu. 

"Sebenarnya, kita sudah menyelesaikan beberapa kes tunggakan gaji kerana kes berkenaan sudah berlaku dari tahun 2015 lagi. Ini termasuk membuat tindakan susulan seperti menyelesaikannya dengan bayaran secara berperingkat.

"Jadi, bukan sesuatu yang di luar biasa apabila timbul laporan empat kes yang masih berbaki lagi. Bagaimanapun, KAFA akan meneliti empat kes berkenaan dan cuba selesaikan dengan mendapatkan pemain atau ejen mereka untuk berbincang.

"Lagipun, kes ini membabitkan pengurusan terdahulu," katanya hari ini.

Terdahulu, Kelantan antara empat pasukan Liga Super selain Perak, Melaka United dan PKNS FC yang berkemungkinan berdepan tindakan FIFA apabila dikatakan masih lagi mempunyai kes tunggakan gaji pemain yang belum diselesaikan.

Maklumat mengenainya tersebar di laman media sosial, semalam dengan Kelantan didakwa mempunyai empat kes dengan FIFA dan dua kes yang sudah dilaporkan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Melaka (dua kes FIFA), Perak (satu kes FIFA) serta PKNS (1 kes FIFA dan 1 kes FAM).   

Berita Harian X