Selasa, 6 Februari 2018 | 11:12am
KANE akui ada sentuhan yang menyebab dia jatuh. FOTO/AFP

Saya tak salah - Kane

LONDON: Penyerang Tottenham Hotspur Harry Kane menafikan dakwaan pemain Liverpool, Virgil van Dijk dia sengaja menjatuhkan badan untuk mendapatkan penalti susulan keputusan seri 2-2 di Anfield semalam.

Pasukan pelawat diberikan dua penalti, satu daripadanya dilakukan Kane pada sepakan terakhir perlawanan itu untuk mencatat gol ke-100 Liga Perdana Inggeris miliknya sekali gus memberikan pasukannya satu mata.

Kane gagal menyempurnakan satu lagi sepakan penalti selepas penjaga gol Liverpool Loris Karius dikatakan menjatuhkan pemain itu.

Namun pemain Belanda, Van Dijk yang dihukum untuk penalti kedua berkata, kedua-dua penalti itu tidak sepatutnya diberikan.

"Saya fikir penalti pertama adalah ofsaid dan pemain itu menjatuhkan badan," kata Van Dijk.

KARIUS menyelamatkan penalti pertama Kane. FOTO/AFP

"Anda boleh melihat dia menjatuhkan badan dan tiada siapa pun bercakap mengenainya.

"Terdapat banyak perbincangan sama ada ia ofsaid, ya atau tidak tetapi saya fikir ia memang ofsaid. Pengadil membuat keputusan bersama penjaga garisan."

Kane membalasnya dengan berkata: "Saya dapat rasakan ada sentuhan dan terjatuh. Saya tidak akan melompat begitu saja kerana inilah bola sepak."

Rakaman suara di televisyen membabitkan perbualan pengadil Jon Moss dan pembantunya Eddie Smart mendedahkan sama ada bola secara tidak sengaja dilorongkan kepada Kane oleh pertahanan Dejan Lovren.

Selepas perbincangan lanjut dengan Smart, Moss meminta pandangan pegawai keempat Martin Atkinson jika dia mendapat sesuatu daripada rakaman televisyen yang menurut Professional Game Match Officials Limited (PGMOL) berkata hari ini sebagai 'satu kesilapan', namun pengadil sentiasa menyedari bahawa pemain Liverpool ada menyentuh bola itu. - Reuters

Berita Harian X