Isnin, 5 Februari 2018 | 9:39pm
PEMAIN Tottenham Hotspur, Erik Lamela (kiri) dikasari pemain Liverpool, Virgil van Dijk pada aksi Liga Perdana Inggeris, awal pagi semalam. - Foto AFP

Saya memang dijatuhkan - Kane

LONDON: Penyerang Tottenham Hotspur, Harry Kane kembali membidas Virgil van Dijk yang sebelum ini mendakwa penyerang England terbabit sengaja merebahkan badannya untuk mendapatkan penalti pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi tadi.

Pertahanan Liverpool itu menyifatkan Kane begitu mudah merebahkan badan ketika diasak penjaga gol The Reds, Loris Karius bagi sepakan penalti pertama yang dihadiahkan kepada Tottenham Hotspur pada perlawanan berkenaan.

"Saya rasa dia merebahkan badannya. Anda dapat lihat dia merebahkan badan tetapi tiada siapa yang berbicara mengenai insiden itu," kata Van Dijk.

Sepakan penalti pertama Kane berjaya diselamatkan namun dia menyempurnakan sepakan penalti kedua untuk mengikat kedudukan 2-2 sekali gus menjadi gol ke-100 miliknya dalam saingan EPL.

"Karius sudah merebahkan badannya dan menghalang laluan saya. Saya tidak mahu melompat kerana ini adalah bola sepak.

"Ada sentuhan yang berlaku jadi sebab itulah saya menjatuhkan badan," kata Kane.

Dalam masa sama, Kane turut melontarkan pujian kepada pegawai perlawanan yang menunjukkan karakter berani selepas menghadiahkan dua penalti penuh kontroversi itu.

Pembantu pengadil, Ed Smart mengangkat bendera susulan kekasaran Van Dijk ke atas Erik Lamela bagi sepakan penalti kedua meskipun pengadil, Jon Moss mengarahkan perlawanan diteruskan.

"Saya berpendapat penjaga garisan menunjukkan karakter yang menakjubkan untuk penalti kedua kerana banyak perkara yang berlaku susulan penalti pertama sebelum itu.

"Jadi, ia satu keputusan yang mustahak untuk memberikan sepakan penalti kedua dan ya, itu sememangnya penalti," katanya. - AFP

Berita Harian X