Isnin, 29 Januari 2018 | 1:18pm
PENGURUS Pahang, Datuk Suffian Awang akan menggalas tugas yang diamanahkan Presiden PBNP dengan sebaik mungkin. - Foto Farizul Hafiz Awang
PENGURUS Pahang, Datuk Suffian Awang akan menggalas tugas yang diamanahkan Presiden PBNP dengan sebaik mungkin. - Foto Farizul Hafiz Awang

Pengurus baharu Tok Gajah teruja

KUANTAN: Datuk Mohammed Suffian Awang teruja apabila dilantik pengurus baharu skuad Pahang bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim ini. Beliau berkata, kepercayaan yang diberikan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP), Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah akan digalas sebaik mungkin.

Katanya, gandingan bersama ketua jurulatih, Dollah Salleh diyakini mencapai misi menjulang sekurang-kurangnya satu piala musim 2018.

"Sebenarnya, saya teruja apabila dilantik sebagai pengurus skuad Tok Gajah dan sedia memikul amanah ini sebaik mungkin di atas kepercayaan Presiden PBNP. Dengan kerjasama Dollah, kami percaya satu piala akan diraih musim ini," katanya.

Mohammed Suffian menggantikan Datuk Che Nasir Salleh yang kini memikul tugas selaku penolong pengurus pasukan.

Sementara itu, kapten Pahang, Matthew Davies bersama rakan sepasukan tekad mempamerkan prestasi terbaik untuk mencapai misi pengurusan menjulang sekurang-kurangnya satu piala.

KAPTEN Pahang, Matthew Davies (tengah) pada majlis mempekenalkan pemain dan pelancaran jersi Pahang bagi tahun 2018 di Dewan Tun Razak. - Foto Farizul Hafiz Awang
KAPTEN Pahang, Matthew Davies (tengah) pada majlis mempekenalkan pemain dan pelancaran jersi Pahang bagi tahun 2018 di Dewan Tun Razak. - Foto Farizul Hafiz Awang

Katanya, dengan barisan pemain serba mantap termasuk kehadiran lima pemain import mampu menambah lagi kekuatan pasukan.

"Kami akan lakukan yang terbaik dan impian mengucup piala musim ini diharap terlaksana," katanya.

Musim lalu, Pahang sekadar muncul naib juara Piala FA, tangga kedua Liga Super dan terkandas di suku akhir Piala Malaysia.

Berita Harian X