Selasa, 23 Januari 2018 | 6:30pm
PASUKAN Selangor akan memulakan kempen Liga Malaysia musim ini dengan beraksi di sebelah petang di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS). - Foto Owee Ah Chun
PASUKAN Selangor akan memulakan kempen Liga Malaysia musim ini dengan beraksi di sebelah petang di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS). - Foto Owee Ah Chun

Selangor main petang

KUALA LUMPUR: Selangor akan beraksi di sebelah petang selepas berjaya mendapatkan kebenaran menggunakan Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS) sebagai gelanggang rasmi bagi kancah Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP), Kevin Ramalingam berkata, pihaknya sudah menerima surat pengesahan daripada Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) berhubung kelulusan untuk beraksi di stadium berkapasiti 16,000 penonton itu.

"Kita tidak ada halangan mengenai perkara ini, cuma stadium itu hanya layak untuk digunakan pada aksi sebelah petang. Jadi kemungkinan selepas ini Selangor akan cuba mendapatkan peluang beraksi di stadium yang boleh digunakan di sebelah malam.

"Apapun, perkara positifnya mereka sudah mengesahkan satu gelanggang sebagai venue untuk mereka beraksi, namun unit pertandingan FMLLP perlu melihat semula jadual pertandingan kerana tiga pasukan turut berkongsi menggunakan stadium terbabit.

"Ini kerana stadium berkenaan digunakan sepanjang tahun tetapi kita akan cuba membantu Selangor supaya dapat menjadikan stadium itu sebagai venue pasukan itu," katanya ketika ditemui di Balai Berita Jalan Riong, hari ini.

Difahamkan, dua lagi pasukan yang turut menggunakan Stadium MPS sebagai venue rasmi adalah dua pasukan Liga Perdana iaitu Kuantan FA serta UKM FC.

Sebelum ini, hasrat juara Piala Malaysia 33 kali itu untuk menjadikan Stadium Nasional Bukit Jalil sebagai gelanggang rasmi tidak kesampaian selepas stadium berkenaan tidak boleh digunakan.

Stadium yang mampu memuatkan kira-kira 90,000 penonton itu dikatakan padat dengan aktiviti sepanjang tahun termasuk menjadi gelanggang Kejohanan Ragbi Asia, sekali gus The Red Giants kini perlu mencari alternatif lain sebelum kempen Liga M disingkap tirainya 3 Februari ini.

Selain Stadium Nasional Bukit Jalil, Merah Kuning turut berdepan kesukaran menggunakan Stadium Shah Alam susulan masalah antara FAS dan kerajaan negeri serta permintaan mereka untuk mendapatkan beberapa venue baharu yang lain juga ditolak.

Berita Harian X