Isnin, 15 Januari 2018 | 11:52am
SOKONGAN daripada penyokong Pahang yang hadir ke Stadium Darul Makmur dijangka meningkat pada waktu malam berbanding aksi waktu petang. - Foto Farizul Hafiz Awang
SOKONGAN daripada penyokong Pahang yang hadir ke Stadium Darul Makmur dijangka meningkat pada waktu malam berbanding aksi waktu petang. - Foto Farizul Hafiz Awang

Laksamana Tok Gajah bantah perlawanan waktu petang

KUANTAN: Kelab Penyokong Laksamana Tok Gajah yang mewakili kelab penyokong Pahang mahu memastikan aksi Liga Malaysia musim ini di Stadium Darul Makmur dilangsungkan pada waktu malam.

Pengerusi kelab itu Mohd Jusri Abd Kadir berkata, apabila aksi liga membabitkan skuad Pahang pada waktu malam, sokongan daripada peminat dijangka meningkat berbanding pada waktu petang.

Justeru katanya, Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) diminta memastikan jadual liga membabitkan skuad Tok Gajah dapat dilangsungkan pada waktu malam.

"Saya difahamkan, kerja naik taraf tahap pencahayaan lampu limpah sudah dilakukan dan memenuhi syarat ditetapkan FMLLP.

"Jika keputusan aksi pada waktu petang, ia sudah pasti menjejaskan sokongan peminat skuad Tok Gajah kerana kekangan kerja.

"Oleh itu, kami harap jadual awal yang diberikan FMLLP diubah daripada waktu petang kepada malam untuk memudahkan peminat ke stadium memberikan sokongan," katanya.

Baru-baru ini, FMLLP mengedarkan jadual perlawanan yang menyaksikan Pahang antara pasukan yang akan beraksi pada waktu petang.

Keputusan itu disebabkan faktor tahap pencahayaan lampu limpah di Stadium Darul Makmur tidak mencapai piawaian yang ditetapkan.

Berikutan itu, Perbadanan Stadium Darul Makmur mengesahkan peruntukan RM80,000 untuk menaik taraf tahap pencahayaan lampu limpah di stadium itu.

Berita Harian X