BARCELONA: Juara bertahan Piala Raja Sepanyol, Barcelona perlu mempamerkan aksi lebih berbisa selepas sekadar seri 1-1 menentang Celta Vigo dalam pusingan pertama 16 pasukan terakhir.
Penyerang Barca, Jose Arnaiz menjaringkan gol selepas mendapat hantaran lintang Andre Gomes hasil serangan pantas bagi membolehkan pasukan pelawat mendahului pada minit ke-15 untuk gol ketiganya dalam kejohanan itu.
Pemain Denmark, Pione Sisto menyamakan kedudukan buat Celta pada minit ke-31 dengan rembatan kencang ke bahagian atas gawang Barca.
Ousmane Dembele masuk di separuh masa kedua untuk penampilan pertama sejak mengalami kecederaan hamstring pada September lalu hampir menjaringkan gol kemenangan buat Barcelona tetapi rembatan rendahnya diselamatkan penjaga gol Celta, Sergio Alvarez.
Barca kini gagal mencapai kemenangan dalam tiga kunjungan terakhir ke Stadium Balaidos. Tewas 4-3 dan 4-1 dalam aksi La Liga.
Jurulatih Ernesto Valverde melakukan tujuh pertukaran dalam skuad Barca yang menewaskan Real Madrid 3-0 dalam aksi terakhir mereka sementara Celta yang dikendalikan bekas penolong jurulatih Barca, Juan Carlos Unzue membariskan kesebelasan terkuat.
Pusingan kedua berlangsung di Nou Camp 11 Januari ini. - Reuters