Khamis, 4 Januari 2018 | 10:53pm
PENGENDALI PSG, Unai Emery yakin skuadnya mampu atasi Real Madrid menjelang pertembungan dua pasukan gergasi Liga Juara-Juara. - Foto AFP

PSG boleh atasi Real: Emery

PARIS: Jurulatih Paris Saint-Germain, Unai Emery yakin skuadnya mampu mengatasi Real Madrid menjelang pertembungan dua pasukan gergasi Liga Juara-Juara.

Dan Emery menolak tanggapan kekalahan kepada juara bertahan itu akan menyebabkan kegagalan buat kelab yang membelanjakan wang yang besar bagi mendapatkan Neymar, Kylian Mbappe dan Dani Alves dengan harapan untuk memenangi Liga Juara-Juara.

"Ia adalah peluang bagi kami untuk menunjukkan bahawa kami juga setaraf dengan mereka, bahawa kami boleh menewaskan pasukan terbaik," kata pengendali dari Sepanyol itu mengenai persiapan pasukannya untuk kembali beraksi selepas rehat musim sejuk di Perancis.

PSG bermain perlawanan pertama pada 2018 Ahad ini di tempat lawan menentang Rennes apabila mereka cuba mempertahankan Piala Perancis.

Jadual Januari akan bermula dengan kempen domestik tetapi kelebihan sembilan mata mengatasi Monaco dan Lyon di persada Ligue 1 bermakna mereka boleh memikirkan mengenai perlawanan pusingan pertama saingan 16 terakhir di Madrid pada 14 Februari.

"Saya sentiasa berfikiran positif," kata Emery. "Kami akan bersedia dengan baik untuk bersaing dengan kuat dan menyaingi Real. Saya rasa kami boleh menang." - AFP

Berita Harian X