Khamis, 4 Januari 2018 | 12:36pm
KAPTEN skuad B-23, Adib Zainuddin (tengah) menyifatkan peluang bertemu Syria untuk aksi persahabatan terakhir perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakan sepasukan. - Foto Osman Adnan
KAPTEN skuad B-23, Adib Zainuddin (tengah) menyifatkan peluang bertemu Syria untuk aksi persahabatan terakhir perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakan sepasukan. - Foto Osman Adnan

Syria beri gambaran di AFC nanti

KUALA LUMPUR: Aksi persahabatan bertemu skuad bawah 23 tahun (B-23) Syria esok seharusnya mampu memberi gambaran mengenai lawan yang bakal dihadapi skuad B-23 negara pada Kejuaraan B-23 Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2018.

Diundi bersama tiga pasukan dari Timur Tengah pada kejuaraan terbabit, kapten skuad B-23, Adib Zainuddin menyifatkan peluang bertemu satu lagi pasukan dari benua itu untuk aksi persahabatan terakhir perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakan sepasukannya sebagai persediaan bagi mengharungi cabaran sebenar nanti.

"Syria juga adalah daripada kelompok yang sama dengan lawan yang bakal kita hadapi pada pertandingan itu nanti jadi kami akan cuba untuk memahami corak permainan pasukan Timur Tengah terlebih dulu. Ini peluang yang baik untuk kami.

"Sudah tentu kedua-dua pasukan akan mengambil pendekatan berhati-hati untuk mengelakkan pemain daripada mengalami kecederaan.

"Namun, memandangkan ini adalah aksi pemanas badan terakhir, kami tetap akan memperagakan aksi yang terbaik untuk mendapatkan rentak permainan selain mengenal pasti kelemahan dan apa yang kita perlu lakukan ketika berdepan pasukan Timur Tengah," katanya ketika dihubungi hari ini.

ADIB Zainuddin (kiri) mahu rakan memperagakan aksi yang terbaik untuk mendapatkan rentak permainan ketika berdepan pasukan Timur Tengah. - Foto Osman Adnan
ADIB Zainuddin (kiri) mahu rakan memperagakan aksi yang terbaik untuk mendapatkan rentak permainan ketika berdepan pasukan Timur Tengah. - Foto Osman Adnan

Anak buah Datuk Ong Kim Swee itu menjalani latihan fasa terakhir di Nanjing, China selepas mengharungi latihan fasa dua selama lebih dua minggu di Mokpo, Korea Selatan sebelum ini.

Aksi bertemu skuad B-23 Syria di Stadium Pusat Latihan Jiangsu bakal menjadi medan terakhir buat Kim Swee untuk menguji kombinasi terbaik sebelum membuka kempen Kumpulan C Kejuaraan B-23 AFC 2018 di Changsu bertemu Iraq pada 10 Januari.

Mereka akan menentang Jordan untuk aksi kedua pada 13 Januari sebelum menutup kempen peringkat kumpulan berdepan Arab Saudi di Kunshan pada 16 Januari.

Berita Harian X