Isnin, 1 Januari 2018 | 10:22am
N THANABALAN bertekad untuk tidak mensia-siakan segala amanah dan tanggungjawab yang diberikan padanya. - Foto Osman Adnan
N THANABALAN bertekad untuk tidak mensia-siakan segala amanah dan tanggungjawab yang diberikan padanya. - Foto Osman Adnan

Thanabalan enggan sia-siakan peluang

SEREMBAN: Penyerang skuad bawah 22 tahun (B-22), N Thanabalan sudah sedia untuk menggalas cabaran negara di pusingan akhir Kejuaraan B-23 AFC 2018 yang akan berlangsung di Jiangsu, China dari 9 hingga 27 Januari ini.

Pemain Negeri Sembilan itu bertekad untuk tidak mensia-siakan segala amanah dan tanggungjawab yang diberikan padanya dalam memastikan Malaysia mampu memberikan saingan terbaik pada kejohanan berprestij itu nanti.

Katanya, biarpun cabaran Kumpulan C yang bakal dihadapi nanti amat sukar dan penuh berliku tetapi dia yakin bukan sesuatu yang mustahil untuk mereka melakukannya.

N THANABALAN (kiri) bersama rakan sepasukan ketika menjalani latihan di Mokpo, Korea Selatan. - Foto FAM
N THANABALAN (kiri) bersama rakan sepasukan ketika menjalani latihan di Mokpo, Korea Selatan. - Foto FAM

"Sememangnya, cabaran yang akan kami hadapi bukan mudah kerana kami berdepan pasukan handalan membabitkan Iraq, Jordan dan Arab Saudi.

"Namun, saya dan rakan-rakan dalam pasukan sudah bertekad untuk memberikan komitmen 100 peratus pada perjuangan bagi menjulang nama negara.

"Selepas sekian lama bersama dan berkorban dengan meninggalkan keluarga, malah ada rakan yang terpaksa melupakan perayaan Krismas, kami akan buat yang terbaik dan tidak akan mensia-siakan peluang pada pertandingan ini," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee baru saja menamatkan latihan pusat kedua di Mokpo, Korea Selatan di mana mereka mengharungi tiga perlawanan persahabatan menentang kelab tempatan yang menyaksikan Malaysia seri 1-1 dengan Mokpo City FC pada 20 Disember, menewaskan Universiti Honam 1-0 pada 22 Disember dan seri 1-1 dengan Jeonju Citizen FC pada 28 Disember.

Barisan 23 pemain itu dijadual menentang skuad Bawah 23 Tahun Syria pada perlawanan persahabatan terakhir di Stadium Pusat Latihan Jiangsu, Nanjing, 5 Januari ini.

Mereka dijadualkan tiba di Jiangsu pada 6 Januari bagi menghadapi dua perlawanan awal Kumpulan C bertemu Iraq pada 10 Januari diikuti Jordan (13 Januari) dan aksi terakhir menentang Arab Saudi di Kunshan, pada 16 Januari.

SKUAD bimbingan Datuk Ong Kim Swee baru saja menamatkan latihan pusat kedua di Mokpo, Korea Selatan. - Foto FAM
SKUAD bimbingan Datuk Ong Kim Swee baru saja menamatkan latihan pusat kedua di Mokpo, Korea Selatan. - Foto FAM

Thanabalan berkata, dia dan rakan sepasukan berada pada tahap persefahaman terbaik dan akan memberi fokus daripada satu perlawanan ke satu perlawanan yang lain.

"Kami akan fokus terlebih dulu kepada perlawanan pertama kumpulan iaitu menentang Iraq sebelum bertemu Jordan dan Arab Saudi.

"Saya berharap dapat menjaringkan gol dan memastikan pasukan mencatat keputusan terbaik pada peringkat kumpulan," katanya.

Skuad negara perlu menduduki dua pasukan teratas kumpulan jika mahu menempah tempat ke suku akhir yang dijadualkan berlangsung pada 20 Januari.

Berita Harian X