Jumaat, 29 Disember 2017 | 10:15pm
PENOLONG jurulatih skuad Bawah 19 (B-19) negara, Hairuddin Omar (kanan) yakin pemain yang terpilih dalam skuad B-23 ke Kejuaraan B-23 Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) di China, bulan depan dapat gunakan peluang ini sebaik mungkin untuk menimba pengalaman berharga. - Foto Osman Adnan
PENOLONG jurulatih skuad Bawah 19 (B-19) negara, Hairuddin Omar (kanan) yakin pemain yang terpilih dalam skuad B-23 ke Kejuaraan B-23 Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) di China, bulan depan dapat gunakan peluang ini sebaik mungkin untuk menimba pengalaman berharga. - Foto Osman Adnan

Manfaatkan peluang ini: Hairuddin

KUALA LUMPUR: "Peluang beraksi di pentas tertinggi amat berguna buat mereka!"

Itu reaksi penolong jurulatih skuad Bawah 19 (B-19) negara, Hairuddin Omar selepas empat pemainnya turut terpilih dalam skuad B-23 ke Kejuaraan B-23 Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) di China, bulan depan.

Dalam senarai 23 pemain B-23 yang dikeluarkan hari ini, pengendali Datuk Ong Kim Swee turut menyenaraikan empat pemain B-19 diketuai penyerang bertubuh tegap Hadi Fayyadh Abdul Razak, Akhyar Rashid, Nik Akif Syahiran Nik Mat dan Shivan Pillay Asokan.

Hairuddin berkata, secara tidak langsung, perkembangan itu juga bagus buat skuad B-19 dan percaya pengalaman dimiliki mereka boleh dikongsi bersama pemain lain.

"Tahniah kepada mereka. Bagus apabila dapat pendedahan bermain di peringkat tertinggi di Asia. Bagi saya, mereka pemain yang berpotensi dan harap mereka dapat gunakan peluang ini sebaik mungkin untuk menimba pengalaman berharga.

"Sememangnya kita memerlukan kejohanan seperti ini kerana anda sudah maklum pemain kita masih kekurangan perlawanan di peringkat antarabangsa.

"Ini juga bagus untuk skuad B-19. Apabila mereka kembali ke pasukan, saya yakin mereka akan berkongsi pengalaman mereka sekali gus boleh membantu pasukan B-19 menghadapi Kejuaraan B-19 AFC, tahun depan," katanya.

Skuad kendalian Bojan Hodak itu akan beraksi pada Kejuaraan B-19 AFC di Indonesia dari 18 Oktober hingga 4 November tahun depan.

Hairuddin berkata, peluang beraksi di peringkat umur lebih tinggi juga dapat mematangkan lagi corak permainan setiap pemain.

Berita Harian X