Khamis, 28 Disember 2017 | 12:20am
PENYERANG Paris Saint-Germain, Kylian Mbappe tidak lagi berminat untuk menyertai Real Madrid. - Foto AFP

Mbappe dedah bertemu Real

MADRID: Penyerang Perancis, Kylian Mbappe mendedahkan dia mengadakan perbincangan dengan Real Madrid sebelum menyertai Paris Saint-Germain (PSG) tetapi kini tidak lagi berminat untuk menyertai gergasi Sepanyol itu.

Mbappe dilaporkan menjadi sasaran Real selepas membantu Monaco menjulang gelaran Ligue 1 musim lalu, trofi yang kali terakhir diraih kelab itu 17 musim yang lalu.

Sebaliknya, dia menyertai PSG pada Ogos dengan perjanjian awal secara pinjaman sebelum menjadi kekal dengan nilai perpindahan dilaporkan AS$209 juta (RM852.22 juta) tahun depan.

"Ada begitu banyak khabar angin mengenai perpindahan, ia benar yang kami berbincang tetapi saya fikir kini segala-galanya sudah berlalu di antara saya dengan Real Madrid.

"Saya bermain dengan PSG ketika ini dan saya akan mempertahankan warna jersi ini 100 peratus," katanya dalam satu temuramah yang dikeluarkan di akhbar Sepanyol, Marca hari ini.

Mbappe yang mencecah usia 19 tahun, minggu lalu berkata dia mahu bermain untuk PSG kerana Paris adalah kampung halamannya.

"Ia seperti kanak-kanak dari Madrid mempunyai peluang untuk bermain dengan pasukannya dan pergi ke tempat lain, negara yang lain.

"Tidak, saya mahu bermain untuk PSG dan saya gembira ketika ini dengan apa yang sedang berlaku. Saya mempunyai masa, dan seperti saya katakan saya mahu bermain dengan pasukan terbaik di dunia dan PSG mempunyai segala-galanya untuk mencapainya.

"Jika pasukan ini membesar bersama saya, tiada sebarang alasan untuk saya meninggalkannya."

Mbappe menamatkan undian di tangga ketujuh di belakang Cristiano Ronaldo dalam anugerah Ballon d'Or bulan ini dan lebih baik berbanding beberapa bintang seperti Robert Lewandowski, Harry Kane dan rakan sepasukannya dari PSG, Edinson Cavani. - AFP

Berita Harian X