Rabu, 27 Disember 2017 | 5:46am
PEMAIN tengah Liverpool berasal dari Brazil, Roberto Firmino menjaringkan gol keempat ketika aksi menentang Swansea City pada saingan Liga Perdana Inggeris di Anfield, sebentar tadi. - Foto Reuters

Liverpool pesta gol belasah Swansea

LIVERPOOL: Pemain perancang Liverpool, Philippe Coutinho membuktikan dirinya cukup berharga buat skuad the Reds apabila memberikan aksi individu menakjubkan ketika membantu pasukan merekod kemenangan 5-0 ke atas Swansea City dalam aksi Liga Perdana, di sini, sebentar tadi.

Pemain antarabangsa Brazil itu menjaringkan gol ke-12 musim ini menerusi rembatan lencong sebelum mencipta gerakan untuk rakan senegara, Roberto Firmino mencetak nama selalu penjaring.

Coutinho yang terus hangat dikaitkan dengan perpindahan ke Barcelona berada di kemuncak prestasi ketika ini dengan menghasilkan tujuh gol sepanjang Disember.

PEMAIN Liverpool, Trent Alexander-Arnold meledak gol ketiga ketika aksi menentang Swansea City pada saingan Liga Perdana Inggeris di Anfield, sebentar tadi. - Foto Reuters

Kesungguhan pemain pertahanan Trent Alexander-Arnold membantu bahagian serangan membuahkan hasil untuknya meledak gol ketiga selepas tamat babak pertama sebelum Firmino dan Alex Oxlade-Chamberlain menambah jaringan menerusi percubaan jarak dekat.

Kemenangan ini membolehkan Liverpool terus bersaing hebat dalam perebutan tiket ke Liga Juara-Juara dengan menduduki tangga keempat liga, lima mata di belakang Manchester United di tempat kedua.

Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp melakukan empat pertukaran berbanding kesebelasan utama ketika seri 3-3 menentang Arsenal.

Joel Matip dan Alexander-Arnold mengambil posisi pertahanan manakala Georginio Wijnaldum dan Oxlade-Chamberlain diturunkan untuk menguatkan bahagian tengah.

Pasukan tuan rumah mendominasi sepenuh permainan menentang Swansea yang sekarang bergelut di zon penyingkiran.

PENGENDALI Liverpool, Kurgen Klopp (kiri) memeluk pemain tengah Philippe Coutinho selepas pelrawanan tamat di Anfield, sebentar tadi. - Foto Reuters

Anak buah Klopp memulakan pesta jaringan menerusi gerakan Firmino dan Mohamed Salah di bahagian tengah sebelum disudahkan dengan rembatan menarik Coutinho dari luar kotak penalti.

Enam minit babak kedua bermula, Coutinho yang tampil dalam 200 penampilan bersama Liverpool kemudian mencipta hantaran untuk Firmino meledak gol menerusi sepakan voli.

Serangan Liverpool kemudian sukar disekat pasukan pelawat apabila menyaksikan Alexander-Arnold meledak gol pertama Liga Perdana sebelum Firmino menolak masuk bola hantaran Salah dalam kotak penalti.

Oxlade-Chamberlain melengkapkan kemenangan bergaya skuad The Reds apabila mengambil kesempatan dengan kelekaan pertahanan Swansea sebelum merembat bola menerjah ke gawang. - AFP

Berita Harian X