Khamis, 21 Disember 2017 | 1:07pm
PENGGANTUNGAN selama setahun dikenakan FIFA ke atas pemain Peru, Paolo Guerrero gara-gara penggunaan bahan terlarang dikurangkan kepada enam bulan. - Foto REUTERS
PENGGANTUNGAN selama setahun dikenakan FIFA ke atas pemain Peru, Paolo Guerrero gara-gara penggunaan bahan terlarang dikurangkan kepada enam bulan. - Foto REUTERS

Penggantungan kapten Peru dikurangkan kepada 6 bulan

PARIS: Penggantungan selama setahun ke atas pemain Peru, Paolo Guerrero gara-gara penggunaan bahan terlarang dikurangkan kepada enam bulan, menurut kenyataan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Keputusan itu sekali gus membolehkan kapten pasukan berkenaan berpeluang beraksi di Piala Dunia di Russia, tahun depan.

"Selepas mengambil kira pelbagai aspek mengenai kes ini, Jawatankuasa Rayuan FIFA berpendapat tempoh enam bulan penggantungan ini adalah berpatutan," kata FIFA, hari ini.

"Penggantungan ini bermula 3 November 2017 iaitu tarikh pemain itu mula dikenakan penggantungan sementara oleh Pengerusi Jawatankuasa Disiplin FIFA."

Penyerang berusia 33 tahun yang beraksi bersama kelab gergasi Brazil, Flamengo itu digantung selepas dikesan positif bahan terlarang jenis cocaine metabolite benzoylecgonine ketika aksi kelayakan Piala Dunia menentang Argentina, 5 Oktober lalu.

Bekas pemain Bayern Munich itu terlepas aksi playoff menentang New Zealand akibat menjalani penggantungan sementara selama 30 hari bermula 3 November lalu.

Pada 8 Disember lalu, Guerrero dijatuhkan hukuman penggantungan setahun namun keputusan rayuan itu hari ini bermakna beliau akan bebas mewakili negaranya di Russia nanti.

Peru layak ke pusingan akhir Piala Dunia selepas menewaskan New Zealand 2-0 secara agregat untuk memastikan slot ke pertandingan itu buat kali pertama sejak 1982.

Peru diundi dalam Kumpulan C bersama Perancis, Australia dan Denmark. - AFP

Berita Harian X