Rabu, 20 Disember 2017 | 8:15pm
KETUA jurulatih B-23, Datuk Ong Kim Swee (tengah) anggap keputusan seri dengan Mokpo City FC bukan agenda utama mahu sesuaikan pemain dengan keadaan cuaca. - Foto fail
KETUA jurulatih B-23, Datuk Ong Kim Swee (tengah) anggap keputusan seri dengan Mokpo City FC bukan agenda utama mahu sesuaikan pemain dengan keadaan cuaca. - Foto fail

Keputusan aksi persahabatan bukan fokus utama: Kim Swee

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih skuad bawah 23 tahun (B-23) negara, Datuk Ong Kim Swee menegaskan keputusan seri 1-1 berdepan kelab divisyen tiga Korea Selatan, Mokpo City FC di Pusat Bola Sepak Antarabangsa Mokpo, hari ini tidak memberi sebarang kesan terhadap persediaan pasukannya.

Sambil menyifatkan keputusan itu tidak penting, Kim Swee menjelaskan perkara yang paling utama adalah pemain dapat menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca sejuk dan memperbaiki segala kelemahan yang ada sebelum mengharungi Kejuaraan B-23 AFC di China, awal bulan depan.

"Walaupun bermain dengan pasukan kelab, yang penting bukan keputusan kerana kita tahu pasukan ini mempunyai kualiti tersendiri dan ia memberi satu perlawanan persahabatan yang kita inginkan," katanya selepas perlawanan, hari ini.

"Walaupun kita seri dengan Mokpo City, pemain menunjukkan sikap positif selepas berjaya menyesuaikan diri dengan baik dan permainan berlangsung sengit. Malah, saya percaya ini menyumbang sesuatu yang kita mahukan sebelum ke China nanti.

Pada aksi sebentar tadi, Syamer Kutty Abba meletakkan Malaysia di depan pada minit ke-39 sebelum Kim Sangwook menyamakan kedudukan pada minit ke-70.

Ujian seterusnya buat skuad Kim Swee adalah berdepan kelab Honam University Jumaat ini dan Jeonju Citizen (28 Disember)", sebelum berangkat ke China pada 30 Disember nanti.

Pada Kejuaraan AFC B-23 nanti, skuad muda negara akan membuka tirai Kumpulan C bertemu Iraq pada 10 Januari dan Jordan pada 13 Januari sebelum aksi terakhir berdepan Arab Saudi di Kunshan pada 16 Januari.

Selain itu, Kim Swee turut mengakui masih terlalu awal untuk dia memutuskan 23 pemain yang akan dibawa ke China di mana tiga daripada 26 pemain yang dibawa ke Korea Selatan terpaksa digugurkan.

"Kita masih ada perlawanan pada 22 dan 28 Disember. Selepas itu barulah saya akan putuskan 23 pemain yang akan ke China.

"Sudah tentu pemain masih perlukan masa dan untuk berlaku adil kepada pemain, mereka semua akan diberi peluang bermain untuk saya membuat penilaian," katanya.

Berita Harian X