JOHANNESBURG: Penjaring gol prolifik dari Mesir, Mohamed Salah dan Pierre-Emerick Aubameyang dari Gabon berada dalam senarai tiga calon terakhir penerima anugerah Pemain Terbaik Afrika.
Sadio Mane dari Senegal melengkapkan senarai tiga pemain itu yang diumumkan di Ghana bagi calon kategori individu, sempena anugerah tahunan Konfederasi Bola Sepak Afrika (CAF).
Salah - peledak utama Liverpool kini mendahului senarai penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini dengan 14 gol, selepas berpindah dari Roma pada awal musim ini.
Dia juga mencipta jaringan menakjubkan ketika membantu Mesir melangkah ke Piala Dunia 2018 di Russia dan tampil kali pertama di pusingan akhir dalam tempoh 28 tahun.
Penyerang Borussia Dortmund, Aubameyang pula berada dalam senarai penjaring kedua terbanyak di Bundesliga, kurang dua gol berbanding pemain dari Poland dan juga bintang Bayern Munich, Robert Lewandowski.
Mane, rakan sepasukan Salah di Liverpool, juga menjadi nadi penting ketika membantu Senegal melangkah ke Piala Dunia buat pertama kali sejak 2002.
Penyandang gelaran, Riyad Mahrez dari Algeria yang beraksi untuk Leicester City, tidak berada dalam senarai 30 pemain yang dicalonkan untuk menerima anugerah musim ini.
Jurucakap CAF, Junior Binyam memaklumkan kepada AFP, jawatankuasa penganjur memutuskan untuk mengenepikan kategori Pemain Terbaik Berpangkalan di Afrika dan kategori Pengadil Terbaik selepas hanya 10 pemain dan enam pengadil dicalonkan sejak pencalonan ditutup bulan lalu. - AFP
Pemain Wanita Terbaik - Asisat Oshoala (NGR, Dalian Quanjian/CHN), Chrestina Kgatlana (RSA, UWC Ladies), Gabrielle Aboudi Onguene (CMR, CSKA Moscow/RUS)
Pemain Remaja Terbaik - Krepin Diatta (SEN, Sarpsborg/NOR), Patson Daka (ZAM, Liefering/AUT), Salam Giddou (MLI, Guidars)
Jurulatih Terbaik - Gernot Rohr (NGR), Hector Cuper (EGY), L'Hussein Amoutta (Wydad Casablanca/MAR)
Kelab Terbaik - Al Ahly (EGY), TP Mazembe (COD), Wydad (MAR)
Pasukan Kebangsaan Terbaik - Cameroon, Mesir, Nigeria
Pasukan Kebangsaan Wanita Terbaik: Ghana U-20, Nigeria U-20, Afrika Selatan.