Isnin, 18 Disember 2017 | 12:30am
CHENG Hoe berdepan tugas sukar untuk mengubah suasana dalam skuad Harimau Malaya. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin
CHENG Hoe berdepan tugas sukar untuk mengubah suasana dalam skuad Harimau Malaya. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin

Cheng Hoe perlu pulihkan semangat Harimau Malaya

KUALA LUMPUR: Jika Tan Cheng Hoe berhasrat menjadi jurulatih skuad kebangsaan pertama yang meraih kemenangan pada perlawanan sulung dalam tempoh 14 tahun, beliau perlu segera mengembalikan keyakinan anak buahnya.

Selepas gagal meraih sebarang kemenangan dalam 10 perlawanan sejak November 2016, keyakinan mereka kian goyah dan Cheng Hoe berdepan tugas sukar untuk mengubah suasana dalam skuad Harimau Malaya.

Cheng Hoe yang menggantikan Nelo Vingada yang meletak jawatan selepas sekadar meraih satu keputusan seri dalam tujuh perlawanan kini sedang merangka perancangan untuk beberapa aksi persahabatan menjelang Piala AFF Suzuki 2018, hujung tahun depan.

Aksi pertama Cheng Hoe adalah perlawanan terakhir Kelayakan Piala Asia 2019 bertemu Lubnan pada 27 Mac, namun beliau mengharapkan dapat menjalani satu aksi pemanas badan sebelum bertolak ke Beirut.

"Bagus jika dapat mengharungi perlawanan ujian menentang mana-mana pasukan sebelum bertemu Lubnan.

"Setakat ini, kita belum mengenalpasti pasukan lawan tetapi kita merancang mengadakan beberapa perlawanan persahabatan tahun depan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Cheng Hoe enggan meletakkan sasaran khusus dalam Piala Suzuki AFF 2018 yang bakal menampilkan format baharu pada edisi tahun depan.

"Tugasan utama saya sememangnya Piala Suzuki AFF, namun saya belum ada apa-apa lagi sasaran," kata bekas pembantu Datuk K Rajagobal itu.

"Perkara utama adalah untuk mendapatkan kembali keyakinan daripada kalangan pemain. Aksi pertama sudah tentu penting, jadi saya sedang mencari lawan yang bersesuaian sebelum kami menentang Lubnan," katanya.

Berita Harian X