Sabtu, 16 Disember 2017 | 1:10pm

Spurs lebur keegoan City

KOLUM APA KATA EPL

Sejurus selepas Manchester United mencatat kemenangan 1-0 ke atas Bournemouth pada awal pagi Khamis lalu, Jose Mourinho berkata, jika saingan kejuaraan liga sudah berakhir, dia akan bercuti ke Brazil atau Los Angeles esoknya.

Selepas itu, dengan pantas dan penuh yakin dia menyambung lagi, betapa pemburuan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini hanya akan berakhir pada Mei dan bukan dalam masa terdekat ini.

"Kami akan berdepan perlawanan satu persatu. Saya percaya semua pasukan di belakang kami, di tempat ketiga, keempat, kelima dan keenam juga akan terus mencuba," kata pengendali United itu seperti dilaporkan ketika mengulas peluang pasukan lain mengejar Manchester City dalam merebut kejuaraan musim ini selepas kelab itu selesa mengungguli liga dengan himpunan 49 mata.

Selepas 17 perlawanan, yang belum sampai pun separuh saingan, pasukan bimbingan Pep Guardiola itu berjaya menjarakkan kedudukan dengan pesaing terdekat, United di tangga kedua dengan kelebihan 11 mata.

Dalam perjalanan mencatat pencapaian cemerlang itu, The Citizens turut berjaya mencipta rekod EPL apabila mengharungi 17 perlawanan tanpa kalah dengan terbaharu ketika membenam Swansea City, 4-0 pada awal Khamis lalu.

Apakah City mampu untuk terus mempertahankan kelebihan mata itu sehingga Mei? Atau adakah United, atau penyandang juara, Chelsea serta Liverpool, Arsenal dan Tottenham Hotspur sudah benar-benar mengangkat bendera putih?

Inilah yang menarik untuk kita saksikan apabila saingan fasa kedua EPL bermula selepas sambutan Krismas atau lebih dikenali Boxing Day dengan Arsenal dan Liverpool akan turut membuat perhitungan pada 23 Disember pada aksi ke-19.

Apapun, bagi aksi minggu ini, Guardiola harus menyelesaikan dulu tugasan berat di laman sendiri apabila menyambut kunjungan Spurs bagi perlawanan tumpuan minggu ini.

Selepas mengejutkan United di Old Trafford, 2-1 minggu lalu, The Citizens menerima satu lagi ujian besar dalam usaha terus melebarkan jurang 11 mata ketika ini. Namun dengan kelas tersendiri, mereka tetap jadi pilihan memenangi aksi ini.

Penulis melihat Guardiola sudah semakin yakin untuk menjulang City. Pengalaman musim lalu sedikit sebanyak membantunya tatkala reputasi cemerlang di Liga Sepanyol dan Jerman sebelum ini menjadi kelebihan buatnya.

Bagi Mauricio Pochettino pula, pencapaian musim lalu harus menjadi motivasi apabila bertandang ke Etihad, jam 1.30 pagi esok waktu Malaysia. Mereka berjaya mengikat City, 2-2 di situ sebelum mengaibkan lawannya itu, 2-0 di White Hart Lane.

Kemenangan itu sekali gus meletakkan Spurs sebagai pasukan pertama berjaya meruntuhkan keegoan City dalam penampilan pertama Guardiola pada kancah EPL.

Tidak cukup itu, musim ini mereka membuktikan reputasi tinggi apabila mudah menjinakkan Real Madrid, 3-1; Liverpool, 4-1 dan Borussia Dortmund, 3-1.

Dengan rentak padu kedua-dua pasukan gergasi EPL, penulis percaya saingan di Etihad ini pasti sengit dengan majoriti pesaing lain tentunya mengharapkan barisan Guardiola akan tumbang.

Sementara itu, dalam aksi lain, Chelsea dijangka berdepan ujian getir apabila menyambut kunjungan Southampton.

Antonio Conte harus menyediakan strategi terbaik untuk mengelak terlepas tiga mata.

Liverpool pula diramal tiada masalah mengetepikan Bournemouth tatkala penyokong terus mempertikaikan strategi Jurgen Klopp susulan dua aksi terakhir The Reds berakhir seri meskipun berdepan pasukan lemah.

Selamat menonton.

Ramalan Minggu ke-17

Leicester City 2 Crystal Palace 1

Arsenal 4 Newcastle United 1

Brighton 2 Burnley 3

Chelsea 1 Southampton 0

Stoke City 2 West Ham 2

Watford 1 Huddersfield 0

Manchester City 2 Tottenham Hotspur 2

West Bromwich 0 Manchester United 3

Bournemouth 1 Liverpool 2

Everton 1 Swansea City 1

Penulis adalah Penolong Pengarang Sukan BH

Berita Harian X