Jumaat, 15 Disember 2017 | 5:53pm
KETUA Jurulatih Skuad B-23, Datuk Ong Kim Swee pada sesi latihan pasukan kebangsaan B-23 di Wisma FAM Kelana Jaya bagi menghadapi Kejuaraan B-23 AFC 2018 di China. - Foto Osman Adnan
KETUA Jurulatih Skuad B-23, Datuk Ong Kim Swee pada sesi latihan pasukan kebangsaan B-23 di Wisma FAM Kelana Jaya bagi menghadapi Kejuaraan B-23 AFC 2018 di China. - Foto Osman Adnan

Amaran Kim Swee

KUALA LUMPUR: Selepas menyingkirkan tiga pemain ke latihan pusat di Korea Selatan, pengendali skuad bawah 23 (B-23) tahun negara, Datuk Ong Kim Swee memberi amaran tiada pemain yang dijanjikan slot automatik ke Kejuaraan B-23 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2018, bulan hadapan.

Justeru, Kim Swee mahukan semua 26 pemain yang dipilih sentiasa bersedia pada sesi latihan selama dua minggu di Mokpo yang akan menyaksikan mereka mengharungi tiga aksi persahabatan.

Selepas itu, Kim Swee akan memilih senarai akhir 23 pemain yang akan dibawa ke Jiangsu, China yang menyaksikan mereka akan berdepan Iraq, Jordan serta Arab Saudi dalam aksi Kumpulan C Kejuaraan B-23 AFC 2018 itu.

"Pemain perlu menunjukkan mereka sudah mencapai piawaian yang diperlukan untuk beraksi di peringkat AFC," kata Kim Swee.

"Mereka perlu bersedia berdepan aksi peringkat antarabangsa walaupun kita tidak mengharungi sebarang perlawanan antarabangsa di Korea Selatan nanti. Namun, aksi yang bakal kita harungi sama bagus seperti aksi antarabangsa."

Skuad B-23 akan bertolak ke Mokpo, awal pagi Ahad ini dan tiga pasukan bakal menanti mereka iaitu Mokpo City pada Rabu, Jeonju University (22 Disember) dan Jeonju Citizen (28 Disember).

Satu lagi aksi persahabatan akan dilangsungkan di Nanjing, China pada 5 Januari ini.

Selepas terikat tanpa jaringan menentang Melaka United di Stadium Shah Alam semalam, Kim Swee membuat keputusan menggugurkan penjaga gol, Amierul Hakimi Awang serta penyerang, Sean Eugene Selvaraj dan pemain tengah, Daniel Ashraf Abdullah.

"Saya memiliki pemain tengah dan penyerang yang agak ramai, jadi kemungkinan saya akan menggugurkan seorang pertahanan, seorang pemain tengah dan seorang penyerang selepas ini.

"Masih banyak lagi kelemahan yang perlu kami perbaiki. Perlawanan persahabatan akan membantu saya memperbaikinya."

Berita Harian X