Khamis, 14 Disember 2017 | 10:20am
PENGURUS Liverpool, Juergen Klopp melakukan tidak kurang 65 perubahan dalam kesebelasan utamanya dalam Liga Perdana musim ini, lebih banyak berbanding pengurus lain di divisyen itu. - Foto REUTERS
PENGURUS Liverpool, Juergen Klopp melakukan tidak kurang 65 perubahan dalam kesebelasan utamanya dalam Liga Perdana musim ini, lebih banyak berbanding pengurus lain di divisyen itu. - Foto REUTERS

Reds tidak bernasib baik: Klopp

LIVERPOOL, England: Pengurus Liverpool, Juergen Klopp menegaskan beliau tidak akan mengubah polisi penggiliran pemainnya selepas keputusan pengendali dari Jerman itu melakukan enam perubahan memakan diri ketika seri 0-0 menentang pasukan bawahan West Bromwich Albion.

Klopp mendakwa Liverpool tidak bernasib baik dan dinafikan kemenangan apabila gol Dominic Solanke dibatalkan kerana terkena tangan lapan minit sebelum tamat di Anfield, awal pagi tadi.

Gol Solanke yang tidak disahkan itu menjadi topik perbualan, namun perbincangan sebelum sepak mula berkisar mengenai keputusan pengurus Liverpool itu merombak pasukannya yang seri 1-1 di laman sendiri dengan Everton, Ahad lalu.

PEMAIN Liverpool, Mohamed Salah dikejar dua pemain West Brom, Chris Brunt and Kieran Gibbs (kanan) pada aksi di Anfield, awal pagi tadi. - Foto REUTERS
PEMAIN Liverpool, Mohamed Salah dikejar dua pemain West Brom, Chris Brunt and Kieran Gibbs (kanan) pada aksi di Anfield, awal pagi tadi. - Foto REUTERS

Klopp menyenaraikan semula Philippe Coutinho dan Roberto Firmino, kedua-duanya secara mengejut diletakkan di bangku simpanan menentang Everton, untuk membentuk gandingan mantap di bahagian serangan bersama Sadio Mane dan Mohamed Salah.

Beliau juga memasukkan Emre Can dan Georginio Wijnaldum di bahagian tengah, menyenaraikan Trent Alexander-Arnold di tempat Joe Gomez di pertahanan kanan dan menggantikan Simon Mignolet dengan Loris Karius di pintu gol.

Klopp berkata, Mignolet direhatkan sebagai langkah berjaga-jaga selepas cedera buku lali menentang Everton dan menyatakan beliau rasa pasukan pilihannya itu mampu memenangi perlawanan.

ROBERTO Firmino cuba lepasi kawalan tiga pemain West Brom. - Foto REUTERS
ROBERTO Firmino cuba lepasi kawalan tiga pemain West Brom. - Foto REUTERS

Pilihannya menjadi tumpuan kerana sudah beberapa kali beliau mengubah pemainnya; beliau melakukan tidak kurang 65 perubahan dalam kesebelasan utamanya dalam Liga Perdana musim ini, lebih banyak berbanding pengurus lain di divisyen itu.

Ditanya jika pilihannya menentang West Brom menjadi, Klopp berkata: "Bukan tugas saya bercakap mengenainya. Saya sudah membuat keputusan dan jika kami tidak menang, bagi saya, ia kelihatan tidak menjadi.

"Ia sering kali berlaku dalam kehidupan seorang pengurus. Tapi tidak guna jika terlalu kecewa mengenainya.

"Saya yakin 100 peratus dengan senarai ini, seperti juga saya 100 peratus yakin mengenai barisan sebelum ini. Tapi kali ini sekurang-kurangnya anda tidak boleh menyalahkan saya."

Klopp berasakan gol Solanke yang dibatalkan itu menjadi pemisah sekalipun ulang tayang televisyen jelas ia terkena tangan.

"Amat sukar. Bagi saya, ia dua kali terbias dan saya masih tidak yakin jika bola terkena tangan. Ia kelihatan seperti dada. Dalam perlawanan ia kelihatan 100 peratus terkena dada," katanya. - AFP

Berita Harian X