Selasa, 12 Disember 2017 | 1:23pm
RAMON Marcote (tengah) belum mempunyai rekod sebagai ketua jurulatih kerana sebelum ini beliau hanyalah jurulatih kecergasan. Kedah adalah pasukan pertama akan dibimbingnya.
RAMON Marcote (tengah) belum mempunyai rekod sebagai ketua jurulatih kerana sebelum ini beliau hanyalah jurulatih kecergasan. Kedah adalah pasukan pertama akan dibimbingnya.

Usah terlalu ghairah puja Marcote - KEPDA

KUALA LUMPUR: Presiden Kelab Penyokong Bolasepak Kedah (KEPDA), Nor Asmadi Hamzah mengingatkan penyokong agar jangan terlalu ghairah menyambut kehadiran Ramon Marcote sebagai jurulatih baru pasukan itu kerana bimbang ia akan memakan diri.

Asmadi berkata, beliau bimbang keghairahan melampau ke atas Marcote boleh menyebabkan penyokong sukar menerima hakikat jika jurulatih itu gagal membawa hasil yang diharapkan kelak.

"Saya lihat cara penyokong bola sepak Kedah meraikan kedatangan Marcote seolah-olah kami mendapat Jose Maurinho sebagai jurulatih.

"Ke mana-mana saya pergi, waima di warung kopi sekali pun topik paling panas di kalangan penyokong bola sepak Kedah sekarang adalah tentang kedatangan Marcote.

"Malah, daripada reaksi penyokong, saya dapat membaca bahawa mereka meletakkan harapan yang begitu tinggi kepada Marcote.

"Mereka juga terlalu yakin jurulatih itu akan membawa lebih banyak kejayaan kepada Kedah musim depan sehingga ada sudah bermimpi pasukan kami mampu melakukan treble sekali lagi seperti pernah dilakukan oleh Azraai (Khor Abdullah) dulu," katanya.

RAMON Marcote ketika mengendalikan latihan pramusim skuad Kedah di Stadium Darul Aman, petang semalam.
RAMON Marcote ketika mengendalikan latihan pramusim skuad Kedah di Stadium Darul Aman, petang semalam.

Asmadi berkata keghairahan itu tercetus kerana penyokong percaya Marcote adalah pilihan terbaik berdasarkan rekodnya ketika menjadi pemangku jurulatih semasa ketiadaan Tan Cheng Hoe yang menjalani kursus di China pada musim 2015 lalu.

"Marcote yang mengambil alih tugas itu berjaya meningkatkan prestasi pasukan sehingga layak ke final Piala Malaysia.

"Sejak itu nama Marcote begitu popular sehinggakan bila Cheng Hoe meletak jawatan untuk menjadi penolong jurulatih skuad kebangsaan, penyokong sangat mengharapkan kedatangannya sebagai pengganti.

"Jadi, bila harapan itu akhirnya menjadi kenyataan sekarang, mereka berasa terlalu gembira seolah-olah sudah menang satu piala.

"Saya bimbang situasi ini akan memakan diri mereka sendiri kelak. Keghairahan yang melampau ini boleh menyebabkan mereka makan hati atau terlalu kecewa jika apa yang diharapkan tidak menjadi kenyataan.

"Bukan saya membantah pelantikan Marcote atau meragui kemampuannya tapi janganlah kita meletakkan harapan yang terlalu tinggi sebaliknya perlu berpijak di bumi nyata.

"Marcote belum mempunyai rekod sebagai ketua jurulatih kerana sebelum ini beliau hanyalah jurulatih kecergasan. Kedah adalah pasukan pertama akan dibimbingnya.

"Berilah dia peluang membentuk pasukan tanpa memberi tekanan berlebihan ke atasnya. Penyokong juga perlu bersedia untuk menerima kegagalan jika itu yang berlaku," kata Asmadi.

Berita Harian X