Selasa, 12 Disember 2017 | 11:28am
PEMAIN PSG, Neymar pulang ke Brazil selepas menerima 'berita buruk membabitkan keluarganya'.

PSG nanti kepulangan Neymar 

RIO DE JANEIRO: Paris Saint-Germain (PSG) berharap Neymar akan kembali dari Brazil dalam tempoh tiga ke empat hari lagi selepas pemain itu pulang ke rumahnya atas alasan peribadi, kata pengurus Unai Emery.

"Kami memberi kebenaran untuk dia membuat perjalanan ini. Saya berharap dia akan kembali dalam tempoh tiga ke empat hari," kata Emery.

Emery berkata, Neymar memberitahunya mengenai perkara berkenaan ketika dia sedang menyediakan pasukannya untuk pertembungan Ligue 1 melawan Lille, Sabtu lalu.

"Dia beritahu saya yang dia mempunyai masalah keluarga. Kelab dan saya memberinya peluang untuk pulang ke Brazil untuk menyelesaikan masalahnya.

"Ia penting buatnya. Orang adalah lebih utama, sebagai pemain adalah nombor dua," kata Emery.

Neymar yang juga pemain termahal dunia susulan perpindahan dari Barcelona, tahun ini pulang ke Brazil Sabtu lalu atas 'alasan peribadi', menurut sumber daripada syarikat pengurusannya, NN Consultaria kepada AFP.

Stesen radio Perancis, RMC Sport melaporkan pemain berusia 25 tahun itu pulang ke rumah selepas menerima 'berita buruk membabitkan keluarganya'.

Semalam, Neymar memuat naik status menerusi Twitter mengenai kepulangannya ke Brazil tetapi tidak menyatakan sebarang alasan.

Dia begitupun digantung untuk aksi menentang Lille yang menyaksikan PSG menang 3-1 dan dijangka akan terlepas perlawanan Piala Liga menentang Strasbourg yang muncul satu-satunya kelab yang menghadiahkan gergasi Perancis itu kekalahan dalam liga musim ini.

Liga Perancis akan memulakan cuti musim sejuk selama tiga minggu bermula 20 Disember ini dengan PSG diundi bertemu juara Eropah, Real Madrid bagi aksi peringkat 16 terakhir Liga Juara-Juara. - AFP

Berita Harian X