Jumaat, 8 Disember 2017 | 5:59pm
PELANTIKAN bekas pengendali Kedah, Tan Cheng Hoe sebagai jurulatih skuad Harimau Malaya yang baharu diumumkan secara rasmi oleh Setiausaha Agung FAM menerusi laman Facebook persatuan itu, malam tadi. - Foto Osman Adnan

Peluang Cheng Hoe bukti kemampuan jurulatih tempatan

KUALA LUMPUR: Pelantikan Tan Cheng Hoe sebagai jurulatih skuad Harimau Malaya yang baharu disifatkan sebagai peluang terbaik untuk beliau membuktikan kemampuan jurulatih tempatan dalam mengendalikan pasukan kebangsaan.

Malah, pelantikan bekas penolong jurulatih kepada Nelo Vingada itu turut mendapat sokongan bekas jurulatih skuad kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan yang mengakui ia keputusan terbaik diambil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi memenuhi pelan jangka pendek skuad kebangsaan.

Katanya, dengan hanya satu kejohanan besar yang akan diharungi oleh skuad kebangsaan pada tahun hadapan iaitu Piala AFF Suzuki, sudah tentu Cheng Hoe tidak berdepan masalah menghimpunkan pemain terbaik bagi mengharungi temasya bola sepak terbesar di Asia Tenggara itu.

"Cheng Hoe bukanlah seorang yang asing dalam pasukan kebangsaan kerana dia pernah menjadi pembantu jurulatih kepada Datuk K Rajagobal sebelum ini dan menjadi pembantu kepada Vingada selama enam bulan.

TAN Cheng Hoe (kiri) bukanlah seorang yang asing dalam pasukan kebangsaan kerana dia pernah menjadi pembantu jurulatih kepada Nelo Vingada selama enam bulan. - Foto Osman Adnan

"Jadi, tidak dinafikan dia memiliki pengalaman yang luas dan sebagai jurulatih tempatan, dia memiliki kelebihan mengetahui selok-belok pemain dan tahu siapa yang perlu dipanggil dan siapa yang patut digugurkan bagi tugasan antarabangsa sebelum ini.

"Memang kita tidak boleh menyamakan tugas mengendalikan pasukan kelab dan pasukan antarabangsa, namun jika dilihat kepada prestasinya yang memberangsangkan sewaktu bersama Kedah dahulu, saya mengharapkan beliau dapat melakukan perkara yang sama dengan skuad kebangsaan.

"Saya kira inilah masanya untuk Cheng Hoe membuktikan bahawa jurulatih tempatan juga memiliki kebolehan mengendalikan skuad kebangsaan dan saya doakan semoga kejayaan sentiasa mengiringnya," katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu, tidak sampai sehari Vingada mengucapkan selamat tinggal kepada skuad kebangsaan, tempat yang dikosongkan itu kini digantikan Cheng Hoe.

Pelantikan bekas pengendali Kedah itu diumumkan secara rasmi oleh Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin menerusi laman Facebook persatuan itu, malam tadi.

"Kami ingin mengucapkan tahniah kepada Tan Cheng Hoe atas pelantikan beliau menjadi ketua jurulatih Harimau Malaya yang baharu," kata Hamidin.

Berita Harian X