MANCHESTER: Pengurus Manchester United, Jose Mourinho berkata dia tidak akan menjadi seperti Pep Guardiola dan Arsene Wenger apabila menegaskan akan memaklumkan perkara sebenar mengenai tahap kecergasan pemainnya.
United yang menewaskan CSKA Moscow 2-1 sekali gus layak ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara buat kali pertama sejak 2013/2014, berdepan Manchester City yang dibimbing Guardiola dalam saingan Liga Perdana Inggeris, Ahad ini.
Ia adalah peluang untuk The Red Devils merapatkan jurang lapan mata dengan pendahulu liga itu.
Mourinho mendakwa Guardiola tidak menceritakan perkara sebenar selepas meragui tahap kecergasan David Silva dan merasakan Wenger turut melakukan perkara sama mengenai Alexandre Lacazette ketika United mencatat kemenangan 3-1 ke atas Arsenal, Sabtu lalu.
Diminta memberi perkembangan mengenai kecergasan skuad kendaliannya, Mourinho, berkata: "Kamu mahu tah perkara sebenar? Kebenarannya adalah Eric Bailly tidak mempunyai peluang untuk diturunkan hujung minggu ini.
"Phil Jones juga begitu selain (Marouane) Fellaini. Zlatan (Ibrahimovic) ada peluang yang cerah dan (Nemanja) Matic cedera tetapi dia tetap akan bermain.
"Saya beritahu perkara yang betul, dia cedera tetapi pasti akan bermain. (Michael) Carrick tiada peluang. Adakah ia benar? Tiada cerita mengenai Lacazette, David Silva...semuanya adalah betul," kata Mourinho.
Wenger sebelum ini memaklumkan Lacazette tidak akan diturunkan berdepan United minggu lalu kerana kecederaan pangkal paha tetapi penyerang Perancis itu bermain sepanjang 90 minit perlawanan.
Dengan nada berseloroh, Mourino menyifatkan pasukan perubatan Arsenal melakukan kerja yang menakjubkan apabila berjaya membuatkan Lacazette yang sepatutnya tidak boleh beraksi tetapi berjaya mengharungi tempoh 90 minit perlawanan.
Sementara itu, Silva diketepikan daripada skuad City pada pertemuan dengan Shakhtar Donetsk, awal pagi esok susulan masalah kecederaan yang tidak diberitahu dengan Guardiola memaklumkan dia tidak tahu sama ada penyerang Sepanyol itu boleh diturunkan dalam perlawanan menentang United di Old Trafford, Ahad ini.
United yang ketinggalan ketika menentang CSKA menerusi jaringan Vitinho bangkit apabila Romelu Lukaku dan Marcus Rashford meledak satu gol bagi membantu kemenangan pasukan itu.
United mara ke pusingan 16 terakhir selaku juara Kumpulan A.
Bayern Munich, Juventus dan Real Madrid antara pasukan yang kemungkinan bakal dihadapi United pada pusingan seterusnya tetapi Mourinho berkata skuad bimbingannya tidak gentar berdepan mana-mana pasukan sekali pun.
"Saya bukan individu yang bertuah berdasarkan undian, jadi lebih baik saya mengunci mulut dan lupakannya kerana kami hanya akan bermain pada Februari depan. Sehingga itu saya perlu fokus dalam saingan liga.
"Namun, saya fikir kami tidak kisah siapapun lawan kami. Saya fikir lawan kami itu tidak akan melompat kegembiraan apabila mereka bertemu kami," katanya. - AFP