Isnin, 4 Disember 2017 | 2:19am
PEMAIN Manchester City, David Silva (kanan) melepaskan rembatan ke arah gawang gol West Ham pada aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium Etihad, sebentar tadi. - Foto AFP

Silva julang Man City

MANCHESTER: David Silva meledak gol lewat untuk membantu Manchester City melakar kemenangan ke-13 berturut-turut Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas membenam West Ham United 2-1, sebentar tadi.

Kemenangan menyaksikan pendahulu liga itu mengembalikan kelebihan lapan mata di hadapan seteru tetangga Manchester United.

City begitupun terlebih dulu ketinggalan sekali pun lebih mendominasi permainan apabila pertahanan West Ham, Angelo Ogbonna menanduk masuk gol berpunca hantaran menarik seminit sebelum babak pertama berakhir.

Begitupun, pertahanan Nicolas Otamendi yang melakukan kesilapan untuk gol West Ham menebus kembali kesilapannya dengan menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-57 susulan hantaran Gabriel Jesus.

Dan Silva yang menerima hantaran bijak Kevin de Bruyne meledak gol kemenangan tuan rumah pada minit ke-83 untuk meneruskan rentak cemerlang City musim ini.

City yang dibimbing Pep Guardiola belum pernah tewas dalam sebarang perlawanan sejak April lalu dijadual bertemu United yang menghuni tangga kedua liga, minggu depan.

West Ham yang hanya menang dua perlawanan sepanjang musim ini pula menghuni tangga ke-19 liga, ketinggalan tiga mata di belakang West Bromwich Albion di tangga ke-17. - REUTERS

Berita Harian X