LONDON: Roberto Firmino meledak dua gol ketika mengetuai kemenangan 5-1 Liverpool ke atas Brighton & Hove Albion di Stadium Amex, malam tadi.
Kejayaan itu adalah kemenangan kelima diraih The Reds dalam enam perlawanan terakhir dalam kempen Liga Perdana Inggeris (EPL).
Liverpool membuka jaringan ketika perlawanan memasuki minit ke-30 menerusi Emre Can dan 74 saat selepas itu, Firmino menambah jaringan kedua buat Liverpool susulan hantaran bijak Mohamed Salah.
Tiga minit selepas aksi babak kedua bersambung, penyerang Brazil itu terus pamer sentuhan penyudah tajam untuk meledak gol ketiga The Reds juga menerusi umpanan Salah berpunca daripada serangan balas pantas.
Pada minit ke-51, Brighton menjaringkan gol menerusi sepakan penalti Glenn Murray menerusi sepakan penalti.
Bagaimanapun, minit ke-87, Philippe Coutinho menambah derita lawan menerusi sepakan percuma menarik sebelum Lewis Dunk tertanduk ke gawang sendiri untuk melengkapkan kemenangan Liverpool. - Reuters