Khamis, 30 November 2017 | 9:16am
MOHAMED Salah (tengah) beraksi selaku pemain gantian meledak dua gol ketika Liverpool menewaskan Stoke, awal pagi tadi. - Foto REUTERS
PENGURUS Liverpool, Juergen Klopp memeluk Sadio Mane ketika pasukannya mencatat kemenangan ke atas Stoke, awal pagi tadi. - Foto REUTERS

Mane, Salah menyinar

STOKE: Jaringan separuh masa pertama menerusi Sadio Mane dan dua gol sumbangan pemain gantian, Mohamed Salah pada babak kedua menyaksikan Liverpool berjaya mencatat kemenangan 3-0 ke atas Stoke City, awal pagi tadi dalam usaha mereka untuk menduduki empat pasukan teratas Liga Perdana Inggeris.

Keputusan itu menyaksikan Liverpool mengumpul 26 mata daripada 14 perlawanan, ketinggalan dua mata di belakang Arsenal yang menduduki tempat keempat dan tiga mata di belakang Chelsea ketiga.


PEMAIN Liverpool, Sadio Mane mudah menewaskan penjaga gol Stoke untuk jaringkan gol pertama pada aksi EPL, awal pagi tadi. - Foto REUTERS

Pengurus pasukan, Juergen Klopp, memuji Salah selepas penyerang dari Mesir itu dimasukkan pada minit ke-67 dan menunjukkan aksi terbaiknya.

"Terima kasih adalah ucapan paling tepat untuk Salah kerana dia masuk pada waktu yang tepat.

"Ia adalah perlawanan yang bagus di tempat lawan. Kami berhak memenangi perlawanan ini dan sangat gembira dapat meraih tiga mata penuh," kata Klopp.


AKSI Mohamed Salah ketika menjaringkan gol kedua Liverpool. - Foto REUTERS

Mane meledak gol cantik pada minit ke-17 selepas pertahanan Joe Gomez dan Dominic Solanke mengawal bola dengan baik dalam kawasan kotak penalti yang kemudian disempurnakan oleh Mane.

Bagaimanapun penjaga gol Liverpool, Simon Mignolet kemudian dilayangkan kad kuning kerana melakukan terjahan ke atas pemain lawan di luar kotak penalti dengan Klopp mempertahankan keputusan pengadil itu.

"Saya tidak fikir ia memihak kepada Mignolet kerana dua pertahan berada ketika situasi itu dan dia bukanlah pemain terakhir," kata pengendali dari Jerman itu.


MOHAMED Salah (kiri) meledak gol ketiga Liverpool ketika Liverpool menewaskan Stoke, awal pagi tadi. - Foto REUTERS

Menggantikan Solanke, Salah menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-77 selepas menerima hantaran cantik dari Mane.

Salah kemudian pantas memanfaatkan peluang kesilapan lawan melakukan hantaran ke belakang dengan melakukan larian solo menewaskan penjaga gol lawan, Lee Grant minit ke-83. - Reuters

Berita Harian X