Rabu, 29 November 2017 | 9:44am
PEMAIN Newcastle United, Ciaran Clark (dua dari kiri) menjaringkan gol pertama ketika bertemu West Bromwich Albion pada aksi liga, awal pagi tadi. - Foto REUTERS

Newcastle bangkit elak kalah lagi

NEWCASTLE: Newcastle United hampir mengalami kekalahan kelima berturut-turut dalam saingan Liga Perdana Inggeris sehinggalah tandukan Ciaran Clark dan gol sendiri pihak lawan membolehkan mereka mencatat keputusan seri 2-2 dengan West Bromwich Albion, awal pagi tadi.

Penyerang West Brom, Hal Robso-Kanu membuka tirai jaringan menerusi tandukannya pada lewat babak pertama sebelum pemain sayap, Sam Field meledak gol kedua minit ke-56 untuk meletakkan pasukan selesa di depan.

Bagaimanapun, Newcastle meraih motivasi untuk kembali bangkit apabila Ciaran Clarke menyempurnakan hantaran Matt Ritchie daripada sepakan penjuru dengan menanduk masuk untuk merapatkan jurang gol dengan West Brom tiga minit kemudian.

REAKSI kecewa pemain West Brom, Ahmed Hegazy (tengah) dan James McClean (dua dari kiri) selepas Newcastle United mendapat gol penyamaan hasil jaringan sendiri Jonny Evans. - Foto AFP

Ritchie sekali lagi menjadi watak penting buat Newcastle apabila menyaksikan sepakan percumanya ditampan masuk pemain lawan untuk gol penyamaan pada minit ke-83.

Tonggak pertahanan West Brom, Jonny Evans diberikan kredit susulan gol sendiri itu tetapi rakan sepasukannya Salomon Rondon yang dilihat menampan bola ke gawang sendiri. - Reuters

Berita Harian X