Isnin, 27 November 2017 | 7:04am
PEMAIN Manchester City, Raheem Sterling (tengah) merai jaringan kedua pasukan bersama Kevin De Bruyne dan Sergio Aguero (kanan) pada aksi liga bertemu Huddersfield, awal pagi tadi. - Foto Reuters
PEMAIN Manchester City, Raheem Sterling (tengah) merai jaringan kedua pasukan bersama Kevin De Bruyne dan Sergio Aguero (kanan) pada aksi liga bertemu Huddersfield, awal pagi tadi. - Foto Reuters

Guardiola kagum semangat juang City

HUDDERSFIELD: Pep Guardiola melabel Manchester City kendaliannya sebagai pasukan mantap untuk semua musim apabila pendahulu Liga Perdana Inggeris itu melepasi ujian bermain dalam hujan di Huddersfield awal pagi tadi.

Anak buah Guardiola kembali melebarkan jurang ke atas pesaing terdekat Manchester United kepada lapan mata selepas kebangkitan pada babak kedua di Stadium John Smith.

Ketinggalan akibat jaringan gol sendiri Nicolas Otamendi pada babak pertama, City terdedah kepada risiko tewas buat kali pertama musim ini, namun bangkit menerusi gol penyamaan Sergio Aguero yang menyempurnakan sepakan penalti dan gol kemenangan Raheem Sterling di akhir permainan.

PEMAIN Huddersfield, Christopher Schindler meraikan jaringan selepas bola hantarannya terkena pertahanan City, Nicolas Otamendi untuk gol sendiri. - Foto Reuters
PEMAIN Huddersfield, Christopher Schindler meraikan jaringan selepas bola hantarannya terkena pertahanan City, Nicolas Otamendi untuk gol sendiri. - Foto Reuters

"Liga Perdana amat sukar, sekarang masuk musim sejuk, kami sedar mereka amat agresif dan kuat, tetapi kami gembira dengan cara kami memenanginya," kata Guardiola.

"Kami berbincang ketika rehat bagaimana untuk menangani situasi ini, kami mempunyai beberapa peluang untuk menjaringkan gol dan kali pertama Huddersfield mendapat peluang, mereka menyempurnakannya. Kami bercakap mengenai jangan berputus asa, untuk terus berjuang."

PENYERANG City, Sergio Aguero menjaringka gol penyamaan hasil sepakan penalti ketika bertemu Huddersfield Town. - Foto AFP
PENYERANG City, Sergio Aguero menjaringka gol penyamaan hasil sepakan penalti ketika bertemu Huddersfield Town. - Foto AFP

Kemenangan itu melakar satu lagi pencapaian baharu buat City - sebagai pasukan pertama mengumpul 37 mata selepas 13 perlawanan pertama Liga Perdana.

City memenangi 18 perlawanan dalam semua pertandingan sebelum ini dan belum tewas sepanjang 26 pertemuan.

Buat kali pertama dalam tempoh 22 tahun, mereka memenangi perlawanan di tempat lawan selepas ketinggalan di babak pertama - mencatat rekod kelab untuk 11 kemenangan berturut-turut di tempat lawan dalam semua pertandingan.

PENGURUS City, Pep Guardiola dan Leroy Sane meraikan kemenangan ke-12 pasukan ketika menewaskan Huddersfield, awal pagi tadi. - Foto Reuters
PENGURUS City, Pep Guardiola dan Leroy Sane meraikan kemenangan ke-12 pasukan ketika menewaskan Huddersfield, awal pagi tadi. - Foto Reuters

Pengendali dari Sepanyol itu mengakui City adalah sebuah pasukan yang mampu mengharungi cabaran hingga ke akhir.

"Mustahil untuk menang semua perlawanan dengan mudah, liga ini amat sukar. Mereka berjuang dengan hebat sekali, kerana itu kami menang," katanya. - AFP

Berita Harian X