Ahad, 26 November 2017 | 6:45am
PEMAIN West Bromwich Albion, Sam Field menghalang kemaraan penyerang Spurs, Harry Kane (kanan) pada aksi liga di Stadium Wembley. - Foto REUTERS

West Brom tambah derita Spurs di Wembley

LONDON: Misi Tottenham memburu kejuaraan buat pertama kali sejak tahun 1961 terbantut apabila sekadar seri 1-1 menentang West Bromwich Albion di Wembley, awal pagi tadi.

Keputusan itu meletakkan skuad kendalian Mauricio Pochettino 10 mata di belakang pendahulu Liga Perdana Inggeris Manchester City.

Spurs mencatat keputusan tidak konsisten di Wembley sejak berpindah ke stadium sementara mereka itu ketika White Hart Lane dalam proses pembinaan semula.


SALOMON Rondon (kiri) diasak pemain Spurs, Harry Winks. - Foto REUTERS

West Brom yang dikendali sementara Gary Megson selepas Tony Pulis dipecat awal minggu ini, mengejutkan Spurs seawal minit keempat menerusi Salomon Rondon yang meledak gol pertamanya sejak September.

Tottenham terpaksa menunggu sehingga minit ke-74 sebelum menyamakan kedudukan menerusi Harry Kane yang menyempurnakan hantaran Dele Alli untuk gol ke-15 dirinya musim ini.


PENYERANG Spurs, Harry Kane menewaskan penjaga gol West Brom, Ben Foster untuk gol penyamaan pada aksi liga di Wembley. - Foto EPA

West Brom kini mengharungi 11 perlawanan tanpa kemenangan manakala Tottenham gagal mengutip tiga mata penuh dalam dua perlawanan liga terakhir mereka.

"Kami tidak begitu tajam, memang sukar di dalam Liga Perdana apabila anda dibolosi terlalu awal," kata Pochettino.

"Saya kecewa kerana kami meletakkan usaha yang tinggi tetapi tercicir dua mata." - AFP


CHRISTIAN Eriksen (tengah) dikawal tiga pemain West Bromwich Albion pada aksi liga di Stadium Wembley. - Foto EPA

Berita Harian X