Khamis, 23 November 2017 | 11:38am
PENYERANG PSG, Neymar diasak pemain Celtic, Nir Bitton pada saingan Kumpulan B Liga Juara-Juara di Paris, awal pagi tadi. - Foto EPA-EFE

Emery gesa PSG kekal fokus

PARIS: Jurulatih Paris Saint-Germain, Unai Emery meminta pasukannya kekal fokus dalam melengkapkan kempen hebat pada peringkat kumpulan Liga Juara-Juara dengan Neymar "yang menakjubkan" mengetuai kemenangan dengan rekod mengatasi Celtic awal pagi tadi.

PSG bangkit daripada ketinggalan untuk membelasah kelab Scotland itu 7-1 di Parc des Princes dengan tumpuan terhadap pemain Brazil itu yang menjaringkan dua gol selepas Moussa Dembele meletakkan Celtic di depan.

GAYA Edinson Cavani meraikan gol jaringannya ketika menentang Celtic saingan Kumpulan B Liga Juara-Juara di Paris, awal pagi tadi. - Foto AFP

Edinson Cavani juga menjaringkan dua gol manakala Kylian Mbappe, Marco Verratti dan Dani Alves mencipta baki gol buat kelab Perancis itu seterusnya membawa mereka melalui peringkat kumpulan dengan mengumpul rekod 24 jaringan berbaki satu perlawanan dalam Kumpulan B.

Kemenangan itu juga yang terbesar buat PSG dalam kejohanan berkenaan, mengatasi persembahan terbaik sebelum ini, 7-2 mengatasi Rosenborg pada Oktober 2000 ketika pemain berusia 21 tahun, Nicolas Anelka menjaringkan dua gol.

Kelayakan ke kelompok 16 terakhir sudah disahkan sebelum perlawanan itu dan kemenangan 2-1 Bayern Munich di Anderlecht bermakna pasukan Jerman itu masih boleh mengatasi Paris di tangga teratas apabila kedua-duanya bertemu bulan depan.

Namun untuk melakukannya, Bayern perlu menang di Allianz Arena dengan perbezaan lebih besar daripada kekalahan 3-0 mereka di Paris pada September, sesuatu yang dilihat amat sukar.

"Objektif kami ialah berada di tangga pertama kumpulan dan kami masih belum berada di sana. Kami masih perlu menentang Bayern dan kami ada kelebihan 3-0, tetapi ia akan menjadi perlawanan yang hebat dan sangat sukar," kata Emery.

Jurulatih Sepanyol itu cuba meredakan sedikit sebarang kebimbangan mengenai keputusan memalukan sama seperti dihadapi mereka yang tewas 6-1 kepada Barcelona pada peringkat 16 pasukan terakhir musim lalu selepas Paris menang perlawanan pertama 4-0.

Namun katanya: "Bayern boleh melakukannya. Ia akan menjadi ujian yang bagus. Mereka antara pasukan yang boleh menang Liga Juara-Juara." - AFP

PENYERANG PSG, Kylian Mbappe merembat masuk gol pada saingan Kumpulan B Liga Juara-Juara di Stadium Parc des Princes, Paris, awal pagi tadi. - Foto AFP

PENYERANG PSG, Neymar (kiri) ditarik pemain tengah Celtic dari Israel, Nir Bitton pada saingan Kumpulan B Liga Juara-Juara di Paris, awal pagi tadi. - Foto AFP

JURULATIH PSG, Unai Emery mahu anak buah kekal fokus kuasai peringkat kumpulan saingan Liga Juara-Juara. - Foto REUTERS

PEMAIN pertahanan PSG, Dani Alves (kanan) turut mencita nama selaku penjaring ketika menentang Celtic pada saingan Kumpulan B Liga Juara-Juara di Paris, awal pagi tadi. - Foto EPA-EFE

Berita Harian X