Sabtu, 18 November 2017 | 10:50am

Nigeria jumpa bekas juara, Libya

JOHANNESBURG: Nigeria diundi dalam Kumpulan C yang turut dihuni bekas juara, Libya Rwanda dan Equatorial Guinea selepas majlis undian Kejohanan Negara-Negara Afrika 2018 (CHAN) yang berlangsung di Rabat, pagi tadi.

Nigeria membuat penampilan ketiga berturut-turut pada kejohanan dwitahunan itu - khas untuk pemain yang beraksi di liga domestik, dengan perlawanan akan berlangsung bermula 14 Januari sehingga 4 Februari 2018 di Maghribi.

Libya adalah satu-satunya bekas juara yang bertanding pada edisi tahun depan selepas muncul juara 2014 dengan menundukkan Gabon, Zimbabwe serta Ghana.

Rwanda adalah pasukan terakhir yang layak ke Maghribi dengan memenangi aksi playoff menentang Ethiopia, susulan Mesir yang menarik diri apabila kelab ternama enggan melepaskan pemain mereka.

Equatorial Guinea bakal membuat penampilan sulungnya dan layak tanpa perlu menendang bola apabila pesaingnya, Gabon menarik diri daripada aksi kelayakan.

Namibia, Uganda serta Zambia diundi dalam Kumpulan B, yang menempatkan Ivory Coast yang meraih tempat ketiga dalam edisi sebelum ini di belakang juara, Republik Congo dan naib juara, Mali.

Uganda pula terdesak untuk sekurang-kurangnya mara ke suku akhir, selepas 'bungkus awal' dalam tiga edisi secara berturut-turut dengan pencapaian terbaik Zambia adalah meraih tempat ketiga pada edisi 2009.

Namibia turut menjadi pasukan yang membuat penampilan pertama mereka selepas mengejutkan Zimbabwe pada aksi kelayakan meskipun menurunkan ramai pemain yang sudah berusia.

Maghribi yang menggantikan Kenya sebagai tuan rumah akan bertemu semifinalis 2016, Guinea serta Sudan dan juga Mauritania dalam Kumpulan A.

Satu lagi kumpulan menampilkan naib juara 2011, Angola, Cameroon, Congo Brazzaville serta Burkina Faso.

Perlawanan akan dilangsungkan di empat bandar utama Maghribi iaitu Casablanca, Agadir, Marrakech serta Tangier.

Juara akan membawa pulang AS$1.25 juta (RM5.19 juta), lebih tinggi berbanding yang diterima Republik Congo sebanyak AS$750,000 (RM3.17 juta) pada edisi sebelum ini. - AFP

JOHANNESBURG: Berikut adalah undian Kejohanan Negara-Negara Afrika 2018 (CHAN) yang berlangsung di Rabat:

Kumpulan A

Maghribi, Guinea, Sudan, Mauritania

Kumpulan B

Ivory Coast, Zambia, Uganda, Namibia

Kumpulan C

Libya, Nigeria, Rwanda, Equatorial Guinea

Kumpulan D

Angola, Cameroon, Congo Brazzaville, Burkina Faso

Berita Harian X