Sabtu, 18 November 2017 | 8:15am
GAYA pemain Lille, Nicolas Pepe meraikan gol jaringannya ketika menentang Saint-Etienne pada saingan Ligue 1 di Stadium Pierre-Mauroy, sebentar tadi - Foto AFP

Lille redakan tekanan Bielsa

PARIS: Lille menewaskan Saint-Etienne 3-1, awal pagi tadi untuk meredakan tekanan kepada pengendali dari Argentina, Marcelo Bielsa selepas keluar daripada zon penyingkiran Ligue 1, Perancis.

Kemenangan kedua berturut-turut itu mengheret Lille keluar daripada kelompok dua tercorot liga, selepas menamatkan deretan sembilan aksi tanpa menang, susulan kemenangan 3-0 ke atas Metz sebelum rehat antarabangsa.

PENYERANG Lille, Nicolas Pepe (kanan) bersaing dengan pemain Saint-Etienne's French, Jonathan Bamba pada saingan Ligue 1 di Stadium Pierre-Mauroy, sebentar tadi - Foto AFP

Saint-Etienne pula kekal di tangga keenam liga selepas tewas perlawanan pertama di bawah kendalian jurulatih baharu, Julien Sable sejak Oscar Garcia meletakkan jawatan minggu ini.

Dalam aksi pagi tadi, penyerang Lille, Nicolas Pepe melonjak tinggi untuk membuka tirai jaringan pada minit ke-20 di Stade Pierre-Mauroy, yang juga gol ketiganya dalam dua perlawanan.

Jonathan Bamba kemudian menyempurnakan penalti pada babak pertama untuk menyamakan kedudukan tetapi tuan rumah, kembali mendahului pada minit ke-71.

Gol kedua Lille itu dijaringkan pemain Brazil, Thiago Mendes apabila rembatan pemain berusia 25 tahun berkenaan menerjah gawang yang menjadi jaringan keduanya bersama kelab sejak tiba dari Sao Paulo, musim ini.

Seorang lagi penyerang Lille, Ezequiel Ponce menambah derita pelawat seminit sebelum perlawanan berakhir, apabila meledak gol ketiga perlawanan tetapi yang pertamanya sejak dipinjamkan dari AS Roma. - AFP

Berita Harian X