Sabtu, 11 November 2017 | 12:00am
NEYMAR (kiri) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan selepas meledak gol pertama Brazil ketika aksi persahabatan menentang Jepun di Lille, sebentar tadi. - Foto REUTERS

Jaringan Neymar bantu Brazil atasi Jepun

LILLE (Perancis): Neymar menjaringkan penalti dan terlepas satu lagi ketika Brazil menunjukkan kehebatan mereka menjelang Piala Dunia tahun depan apabila mengatasi Jepun 3-1 sebentar tadi dalam perlawanan persahabatan di Lille.

Bintang Paris Saint-Germain itu meledak jaringan pada minit ke-10 menerusi penalti selepas melihat kembali rakaman video bantuan pengadil walaupun Neymar menyaksikan penalti keduanya diselamatkan Eiji Kawashima.

Marcelo menjaringkan gol kedua menakjubkan ketika Brazil menggandakan kelebihan mereka pada minit ke-17, dengan pemain Manchester City, Gabriel Jesus melengkapkan serangan balas pantas sebelum rehat babak pertama bagi menjadikan kedudukan 3-0.

PENYERANG Brazil, Neymar menjaringkan gol menerusi sepakan penalti ketika mengatasi Jepun 3-1, sebentar tadi. - Foto REUTERS

Tomoaki Makino menjaringkan gol sagu hati hasil hantaran sudut pada minit ke-62 namun Jepun kekal tanpa kemenangan Brazil, tewas buat kali ke-10 dalam 12 pertemuan.

"Saya tidak tahu apa yang berlaku dalam kepala mereka pada babak pertama," kata jurulatih Jepun, Vahid Halilhodzic.

"Penalti itu ditiup kerana video dan mungkin itu menyebabkan pasukan kecewa."

Tambahnya: "Ia babak pertama yang memalukan, babak kedua memberikan saya sedikit kepuasan.

"Saya lihat banyak perkara yang kami perlu baiki dan kami tahu banyak perkara daripada perlawanan ini."

Neymar disertai rakan sepasukan PSG, Thiago Silva dalam kesebelasan Brazil ketika jurulatih Tite memilih skuad terkuat walaupun bermain di Stade Pierre-Mauroy dekat utara Perancis. - AFP

Berita Harian X