MELAKA: Pasukan Legenda FC muncul juara Piala Datuk Soh Chin Aun yang juga bekas pemain skuad Olimpik negara 1972 dan 1980 pada saingan berlangsung di Stadium Hang Tuah, semalam.
Skuad terbabit berjaya mengatasi SC FC 2-1 di final pada kejohanan disertai 20 pasukan bola sepak termasuk dari Indonesia, Brunei, Hong Kong, Johor, Negeri Sembilan, Perak, Selangor dan Kuala Lumpur.
Penyelaras kejohanan, Soh Chor Len berkata, kejohanan tujuh sebelah veteran itu bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim dan perpaduan kaum selain menyokong sebarang program bola sepak negara.
Katanya, program anjuran Kelab Bola Sepak Lagenda FC terbabit turut menghimpunkan bekas-bekas pemain handalan negara termasuk Robert Choo, Wong Kam Fook, Datuk N Thabalan, Datuk Santokh Singh dan Vincent Thambyaraja.
"Pemain lain ialah bekas pemain negara 1980-an Ramli Junit, Samsurin Abd Rahman, Ching Hong Aik, Shahrin Majid, M Chandran dan Jantan Ali.
"Juara membawa pulang RM3,000 dan naib juara RM1,500 walaupun hadiah bukan buruan sebenar penyertaan pasukan. Apa yang lebih penting ia ialah medan pertemuan rakan lama yang banyak menyumbang kepada pembangunan bola sepak negara dan di pentas antarabangsa pada masa lalu," katanya.
Menurutnya, apa yang menarik kejohanan itu mengimbau era kegemilangan bekas pemain yang pernah mewarnai pentas bola sepak Malaysia yang tidak luput daripada ingatan peminat bola sepak.