Khamis, 2 November 2017 | 7:44am
GAYA penyerang Liverpool, Mohamed Salah selepas menjaringkan gol pertama ketika menentang Maribor pada aksi Liga Juara-Juara di Anfield, sebentar tadi. - Foto Reuters
GAYA penyerang Liverpool, Mohamed Salah selepas menjaringkan gol pertama ketika menentang Maribor pada aksi Liga Juara-Juara di Anfield, sebentar tadi. - Foto Reuters

Salah, Can, Sturridge ceriakan Liverpool

LIVERPOOL: Gol babak kedua Mohamed Salah, Emre Can dan Daniel Sturridge membawa Liverpool menghampiri peringkat kalah mati, Liga Juara-Juara selepas juara Eropah lima kali itu menewaskan Maribor 3-0, sebentar tadi.

Liverpool membelasah Maribor 7-0, dalam perlawanan pertama dua minggu lalu, tetapi hanya berpuas hati dengan tiga gol di Anfield, ketika juara Slovenia itu memperkemaskan pertahanan mereka.

PENYERANG Liverpool, Daniel Sturridge (tengah) meledak gol ketiga pada aksi Liga Juara-Juara di Anfield, sebentar tadi. - Foto AFP
PENYERANG Liverpool, Daniel Sturridge (tengah) meledak gol ketiga pada aksi Liga Juara-Juara di Anfield, sebentar tadi. - Foto AFP

Kemenangan yang ditambah dengan kekalahan 1-2 Sevilla di tangan CSKA Moscow, meletakkan Liverpool dengan kelebihan satu mata di persada Kumpulan E.

Kedudukan itu menyaksikan Liverpool berada di landasan tepat untuk meneruskan harapan mereka untuk mara ke pusingan kalah mati sejak 2008-09.

PEMAIN Liverpool Alex Oxlade-Chamberlain (tengah) diasak dua pemain Mariborpada aksi Liga Juara-Juara di Anfield, sebentar tadi. - Foto Reuters
PEMAIN Liverpool Alex Oxlade-Chamberlain (tengah) diasak dua pemain Mariborpada aksi Liga Juara-Juara di Anfield, sebentar tadi. - Foto Reuters

Skuad kendalian Jurgen Klopp akan berkunjung ke Sevilla untuk perlawanan seterusnya awal bulan ini, sebelum menamatkan saingan kumpulan di laman sendiri, berdepan Spartak pada awal Disember.

Klopp yang bercadang merehatkan Jordan Henderson terpaksa memikirkannya semula pada minit ke-17, apabila pemain tengah Belanda, Georginio Wijnaldum mengalami kecederaan pergelangan kaki kanan yang membuatkan kapten Reds itu berdepan masalah.

Dengan Maribor lebih banyak bertahan dengan formasi 5-4-1, Liverpool bergelut untuk mencipta peluang menjaringkan gol pada babak pertama.

Salah melegakan sedikit kebimbangan penyokong selepas empat minit babak kedua, apabila dia melepasi Aleksander Rajcevic untuk menyambar hantaran Alexander-Arnold dan mengatasi Handanovic dengan voli menarik.

Setakat ini, pemain Mesir itu kini sudah meledak 10 gol buat Liverpool sejak berpindah dari Roma.

Milner melepaskan peluang untuk menggandakan gol Liverpool selepas itu apabila sepakan penaltinya ditepis Handanovic selepas Firmino dikasari Rajcevic.

Can mengukuhkan kedudukan menerusi jaringan pada minit ke-64 sebelum Sturridge mudah menyempurnakan peluang di depan gol untuk meledak gol ketiga pada minit ke-90. - AFP

Berita Harian X