Rabu, 1 November 2017 | 6:41am
PENJAGA gol Benfica, Mile Svilar cuba diasak pemain United, Jesse Lingard pada aksi Liga Juara-Juara di Old Trafford. - Foto AFP
PENJAGA gol Benfica, Mile Svilar cuba diasak pemain United, Jesse Lingard pada aksi Liga Juara-Juara di Old Trafford. - Foto AFP

Svilar sekali lagi 'bantu' Man Utd menang

MANCHESTER: Manchester United menghampiri pusingan kalah mati Liga Juara-Juara selepas penjaga gol Benfica, Mile Svilar 'bermurah hati' memberikan mereka kemenangan 2-0 awal pagi tadi.

Selepas membawa masuk bola sepakan percuma Marcus Rashford ke gawang sendiri untuk kemenangan United pada pertemuan sebelum ini, penjaga gol 18 tahun itu menjaringkan gol sendiri apabila percubaan Nemanja Matic terkena tiang dan melantun ke belakang badannya sebelum menerjah gawang.

MILE Svilar menyelamatkan sepakan penalti Anthony Martial (kiri). - Foto Reuters
MILE Svilar menyelamatkan sepakan penalti Anthony Martial (kiri). - Foto Reuters

Penalti minit ke-78, Daley Blind melengkapkan kemenangan skuad Liga Perdana Inggeris itu, tetapi dengan CSKA Moscow menewaskan Basel dalam satu lagi perlawanan Kumpulan A, United kini memerlukan satu mata lagi daripada dua perlawanan terakhir untuk mengesahkan tempat ke kelompok 16 terakhir.

Benfica kendalian Rui Vitoria kekal di tangga tercorot kumpulan tanpa sebarang mata selepas lima kekalahan berturut-turut di peringkat Eropah - rekod terburuk dalam sejarah kelab - dan tidak layak ke pusingan seterusnya.

Pemain remaja Belgium, Svilar pada satu ketika seperti hampir menebus kesilapannya dua minggu lalu di Lisbon apabila menyelamatkan sepakan penalti Anthony Martial di awal permainan.

PEMAIN United, Nemanja Matic (kanan) melakukan rembatan untuk jaringkan gol pertama ketika menewaskan Benfica. - Foto AFP
PEMAIN United, Nemanja Matic (kanan) melakukan rembatan untuk jaringkan gol pertama ketika menewaskan Benfica. - Foto AFP

Dengan empat kemenangan dalam empat perlawanan, United kini menerajui kumpulan dengan kelebihan enam mata dan hanya keajaiban kecil mampu menghalang mereka daripada mara ke pusingan kalah mati buat pertama kali sejak musim 2013-14.

Skuad kendalian Jose Mourinho akan bertandang ke Basel pada 22 November sebelum mengakhiri kempen peringkat kumpulan di laman sendiri bertemu CSKA bulan depan. - AFP

Berita Harian X