Isnin, 16 Oktober 2017 | 10:23pm
AKSI pemain United, Romelu Lukaku (kiri) bersaing dengan pemain Liverpool, Dejan Lovren untuk mendapatkan bola di udara. - Foto REUTERS
AKSI pemain United, Romelu Lukaku (kiri) bersaing dengan pemain Liverpool, Dejan Lovren untuk mendapatkan bola di udara. - Foto REUTERS

Lukaku tenang hadapi kritikan

LIVERPOOL: Penyerang Manchester United, Romelu Lukaku tenang berdepan kritikan terhadap rekod buruknya menentang enam kelab besar Liga Perdana Inggeris selepas dia terlepas peluang menjaringkan gol ketika seri menentang Liverpool.

Pemain Belgium itu menjaringkan 15 gol dalam 57 perlawanan menentang Arsenal, Chelsea, Liverpool, Manchester City, Manchester United dan Tottenham.

Ia dianggap statistik tidak memberangsangkan jika mengambil kira prestasi yang dipamerkan sepanjang dua tahun laluketika mewakili Everton dan kini United, dan prestasinya sekali lagi diperkatakan selepas dia terlepas satu-satunya peluang buat pasukannya yang hanya seri tanpa jaringan pada perlawanan di Anfield, Sabtu lalu.

Peluang itu selalunya mudah buat pemain berumur 24 tahun itu untuk membuat jaringan selepas menjaringkan 16 gol dalam 13 penampilan bagi kelab dan negaranya yang menyebabkan lebih ramai mempersoalkan persembahannya dalam perlawanan besar.

"Saya tidak memikirkan mengenainya sangat - saya perlu berfikir ke depan," kata penyerang itu, yang menjaringkan kebanyakan golnya pada hujung perlawanan, dan menjadi bukti terhadap kritikan yang dia tidak menjaringkan gol yang mampu mengubah perlawanan.

Penyerang United, Romelu Lukaku (tengah) diasak pemain Liverpool pada aksi saingan Liga Perdana Inggeris di Anfield, Sabtu lalu. - Foto REUTERS
Penyerang United, Romelu Lukaku (tengah) diasak pemain Liverpool pada aksi saingan Liga Perdana Inggeris di Anfield, Sabtu lalu. - Foto REUTERS

"Saya tahu jangkaan orang ramai sangat tinggi tetapi ia adalah sesuatu yang saya gemari. Ketika di Everton, kami mempunyai pemikiran yang berbeza apabila bermain. Kadang kala permainan menjadi sukar apabila anda tidak bermain untuk menang dan tidak mencipta banyak peluang.

"Kini saya berada dalam pasukan yang mahu menang menentang pasukan besar, jadi saya rasa situasi akan berubah. Saya tidak meletakkan tekanan pada diri sendiri.

"Tekanan terbesar buat saya ialah ketika Piala Super Eropah menentang Real Madrid (pada Ogos) kerana dalam permainan itu semua orang tertumpu kepada saya dan berfikir 'Mampukan dia melakukannya?'. Perlawanan itu (Lukaku menjaringkan gol walaupun kalah 2-1) meringankan beban saya.

"Ramai penyerang yang terlepas peluang lebih besar tetapi dengan saya ia sentiasa, 'Rom buat itu, Rom buat ini'. Itu standard yang saya tetapkan untuk diri saya. Ia perkara biasa dalam bola sepak dan saya tenang menghadapinya," - AFP

Berita Harian X