X
Isnin, 16 Oktober 2017 | 12:22am
JUERGEN Klopp (kanan) dan pengurus Manchester United, Jose Mourinho masing-masing menyalahkan antara satu sama lain selepas perlawanan kedua-dua pasukan berakhir dengan seri tanpa jaringan. - Foto REUTERS
JUERGEN Klopp (kanan) dan pengurus Manchester United, Jose Mourinho masing-masing menyalahkan antara satu sama lain selepas perlawanan kedua-dua pasukan berakhir dengan seri tanpa jaringan. - Foto REUTERS

Mourinho, Klopp saling tuding jari

LIVERPOOL (England): Pengurus Manchester United, Jose Mourinho dan rakan sejawatnya di Liverpool, Juergen Klopp menyalahkan antara satu sama lain selepas perlawanan kedua-dua pasukan berakhir dengan seri tanpa jaringan.

Sesudah tampil dengan purata 3.2 gol satu perlawanan menjelang perlawanan malam tadi, United mengubah taktik bagi kunjungan ke Anfield, menghasilkan satu persembahan penuh berwaspada yang menyebabkan Klopp menuduh pelawat bermain untuk satu mata.

Pendekatan United jauh berbeza berbanding Manchester City, yang membelasah Stoke City 7-2 untuk mendahului dua mata di depan musuh mereka itu di puncak Liga Perdana Inggeris, namun Mourinho berkata, Klopp turut bertanggungjawab.

"Saya menanti Juergen supaya mengubah corak perlawanan," kata pengurus United itu.

"Saya menantinya supaya lebih banyak menyerang tapi beliau asyik mengekalkan tiga pemain tengah yang kuat sepanjang masa yang mana beliau boleh menguasai kerana saya hanya ada (Ander) Herrera dan (Nemanja) Matic.

PENJAGA gol United, David De Gea berjaya menyelamatkan gawangnya ketika aksi menentang Liverpool. - Foto Reuters
PENJAGA gol United, David De Gea berjaya menyelamatkan gawangnya ketika aksi menentang Liverpool. - Foto Reuters

"Apabila saya membawa masuk (Jesse) Lingard dan (Marcus) Rashford, saya menantinya memberikan saya lebih banyak ruang untuk melakukan serangan balas pantas, namun beliau tidak memberikannya."

Cuba menafikan dakwaan pasukannya bermain secara lebih konservatif, Mourinho berasakan Klopp patut lebih proaktif dan memuji keutuhan benteng pertahanan Liverpool.

"Saya tahu mungkin anda memikirkan kami bermain secara bertahan dan mereka lebih menyerang," katanya.

"Mereka bermain di laman sendiri dan anda tidak langsung bergerak? Saya tidak tahu. Saya menantikannya. Beliau tidak.

"Saya fikir beliau bertindak baik, secara jujur. Beliau tidak membuka ruang. Mereka bagus dari segi bertahan."

PERTAHANAN United, Matteo Darmian (kanan) cuba menghalang hantaran pemain Liverpool, Mohamed Salah pada aksi EPL di Stadium Anfield. - Foto AFP
PERTAHANAN United, Matteo Darmian (kanan) cuba menghalang hantaran pemain Liverpool, Mohamed Salah pada aksi EPL di Stadium Anfield. - Foto AFP

Dalam temu ramah televisyen, Klopp berkata, taktik bertahan Mourinho tidak boleh diterima oleh seorang pengurus Liverpool.

"Saya pasti kami tidak boleh melakukannya di Liverpool. Itulah caranya. Tapi jelas di Manchester ia OK," katanya.

Keputusan itu menyebabkan Liverpool ketinggalan tujuh mata di belakang United dan sembilan mata di belakang pendahulu City. - AFP

Berita Harian X