Ahad, 8 Oktober 2017 | 8:35am
ALEX Iwobi (tengah) dirai rakan sepasukan selepas menjaringkan gol kemenangan Nigeria ke atas Zambia pada aksi kelayakan Piala Dunia 2018. - Foto AFP
ALEX Iwobi (tengah) dirai rakan sepasukan selepas menjaringkan gol kemenangan Nigeria ke atas Zambia pada aksi kelayakan Piala Dunia 2018. - Foto AFP

Iwobi bawa Nigeria ke Russia, Ghana tersingkir

ABUJA, Nigeria: Gol tunggal penyerang Arsenal, Alex Iwobi menyaksikan Nigeria muncul negara dari benua Afrika pertama menempah tempat ke Piala Dunia 2018 selepas menewaskan Zambia 1-0 manakala Ghana tersingkir.

Iwobi meledak gol pada minit ke-78 bagi memastikan Nigeria menjuarai Kumpulan B aksi kelayakan ke Russia berbaki satu lagi perlawanan.

"Sasaran saya adalah untuk melayakkan pasukan ini ke kejohanan seperti Piala Dunia," kata kapten Nigeria, John Obi Mikel.

"Saya amat berbangga untuk menjadi kapten pasukan yang memiliki pemain-pemain dan jurulatih yang hebat ini. Isteri saya adalah dari Russia dan dia serta anak-anak akan ke sana untuk bersorak bagi kami di Piala Dunia."

PEMAIN Nigeria, John Obi Mikel (kiri) diasak pemain v Zambia, Simon Silwimba pada aksi kelayakan Piala Dunia 2018. - Foto AFP
PEMAIN Nigeria, John Obi Mikel (kiri) diasak pemain v Zambia, Simon Silwimba pada aksi kelayakan Piala Dunia 2018. - Foto AFP

Nigeria kini mengumpul 13 mata diikuti Zambia di tangga kedua dengan tujuh mata manakala Cameroon mengumpul enam mata selepas menundukkan Algeria 2-0.

Ghana yang mara ke suku akhir Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan tersingkir selepas sekadar mencatat keputusan seri tanpa jaringan menentang Uganda tatkala mereka memerlukan kemenangan untuk menghidupkan peluang dalam Kumpulan E.

Keputusan itu bermakna Mesir boleh menyertai Nigeria ke Russia andai mencatat kemenangan ke atas Congo, hari ini.

Tetapi jika gagal meraih kemenangan, Uganda masih mampu memintas Mesir untuk menghuni tangga teratas kumpulan itu menuju perlawanan terakhir yang dijadual pada bulan depan.

PEMAIN Nigeria meraikan kejayaan pasukan mereka menempah tempat ke Piala Dunia 2018 di Russia. - Foto AFP
PEMAIN Nigeria meraikan kejayaan pasukan mereka menempah tempat ke Piala Dunia 2018 di Russia. - Foto AFP

Sementara itu Senegal meraih tangga teratas Kumpulan D selepas gol lewat Diafra Sakho dan Cheikh N'Doye menghadiahkan mereka kemenangan 2-0 ke atas Cape Verde.

Dalam Kumpulan C, jaringan hatrik Khalid Boutaib membawa Maghribi ke tangga teratas hasil kemenangan selesa 3-0 ke atas Gabon dengan Ivory Coast jatuh ke tangga kedua selepas terikat 0-0 di Mali. - AFP

Berita Harian X