MILAN: Serie A Itali mengarahkan kawasan tempat duduk bahagian utara melengkung di Stadium Olimpik ketika menjadi gelanggang Lazio supaya ditutup bagi dua perlawanan selepas laungan berbaur perkauman kedengaran ketika aksi bertemu Sassuolo, minggu lalu.
Ejekan yang kedengaran di Curva Nord itu dipercayai ditujukan kepada dua pemain Sassuolo, Claud Adjapong dan Alfred Duncan sekali gus membawa kepada amaran menerusi pembesar suara.
Dalam laporan disiplin, Serie A mendapati "Sekitar 2,000 daripada 5,449 penghuni" di seksyen tempat duduk berkenaan didapati bersalah kerana "Melaungkan nyanyian diskriminasi kaum" pada minit ke-31 dan ke-77 perlawanan.
Pertembungan tetangga itu menyaksikan Lazio mencatat kemenangan 6-1.
Begitupun, insiden itu bukan pertama berlaku bagi pertembungan tetangga Rom itu selepas kawasan sama turut diarah untuk ditutup berikutan kejadian yang berlaku pada 30 April lalu.
Sementara itu, Atalanta didenda 10,000 euro (RM49,839) selepas peminatnya membaling botol kepada pemain-pemain Juventus, minggu lalu.
Pengarah Sukan Juventus, Fabio Paratici pula didenda 20,000 euro (RM99,678) kerana menghina Bantuan Pengadil Video (VAR) ketika perlawanan.
Inter dan Roma dalam pada itu masing-masing didenda 2,500 euro (RM12,459) kerana menangguhkan perlawanan. - AFP