Ahad, 24 September 2017 | 11:18pm
PEMAIN FELDA United, Zah Rahan Krangar (kanan) meraikan gol keempat ketika menentang PKNP FC pada aksi suku akhir kedua Piala Malaysia 2017 di Stadium Shah Alam, sebentar tadi.- Foto Osman Adnan
PEMAIN FELDA United, Zah Rahan Krangar (kanan) meraikan gol keempat ketika menentang PKNP FC pada aksi suku akhir kedua Piala Malaysia 2017 di Stadium Shah Alam, sebentar tadi.- Foto Osman Adnan

Misi tak mustahil FELDA berjaya

SHAH ALAM: FELDA United FC menjayakan misi 'tidak mustahil' mereka untuk mara ke separuh akhir Piala Malaysia selepas menewaskan PKNP FC 4-1 pada aksi suku akhir kedua di Stadium Shah Alam, sebentar tadi.

Misi itu dilancarkan jurulatih The Fighters, B Sathianathan apabila pasukannya memerlukan kemenangan sekurang-kurangnya 3-0 ke atas PKNP selepas tewas 1-3 pada aksi pertama di Jengka, minggu lalu.

Malah kemenangan itu menyaksikan anak buah Sathianathan mara dengan agregat 5-4 dan akan berdepan juara bertahan, Kedah di separuh akhir yang akan berlangsung pertengahan bulan depan.

PENYERANG FELDA United, Thiago Augusto (tiga dari kanan) diasak pemain PKNP FC, Muhammad Syazwan pada aksi suku akhir kedua Piala Malaysia 2017 di Stadium Shah Alam, sebentar tadi.- Foto Osman Adnan
PENYERANG FELDA United, Thiago Augusto (tiga dari kanan) diasak pemain PKNP FC, Muhammad Syazwan pada aksi suku akhir kedua Piala Malaysia 2017 di Stadium Shah Alam, sebentar tadi.- Foto Osman Adnan

Pada aksi malam tadi, FELDA United tergamam apabila PKNP hanya memerlukan lapan minit untuk terus mengukuhkan kedudukan secara agregat hasil jaringan Kim Hyeon Woo.

Bagaimanapun, jaringan itu sama sekali tidak mematahkan semangat anak didik Sathianathan untuk bangkit dan mereka berjaya menyamakan kedudukan menerusi Wan Zack Haikal Wan Nor pada minit ke-35.

Hanya seminit selepas itu, Ifedayo Olusegun kembali menghidupkan peluang buat The Fighters apabila meledak gol kedua selepas menyudahkan hantaran Thiago Augusto Fernandes.

Seminit sebelum perlawanan tamat, The Fighters akhirnya berjaya menjadikan agregat 4-4 selepas bola sepakan sudut Wan Zack Haikal terus melencong ke gawang PKNP yang dikawal, Ahmad Asyraaf Omar.

Kenduri gol FELDA United berterusan sebaik bersambung babak kedua apabila Zah Rahan Krangar bijak menolak masuk bola hantaran silang Thiago Augusto pada minit ke-48.

PKNP yang bermain selaku tuan rumah cuba bangkit dengan beberapa percubaan namun gagal menembusi gawang FELDA United yang dikawal Farizal Harun.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X