Jumaat, 15 September 2017 | 6:06pm

Isu gaji tertunggak cemar Liga M

KUALA LUMPUR: Masalah tunggakan gaji pemain nampaknya terus menjadi 'perosak' dalam kemeriahan saingan Liga Malaysia (Liga M).

Apa tidaknya, isu berkenaan bukan sahaja memberi kesan kepada pendapatan pemain dan persembahan pasukan, malah turut mencemarkan nama liga kita yang semakin meningkat naik.

Hakikatnya, perkara ini sudah lama terjadi dan bukannya baru muncul musim ini.

Malah, ia terus berlarutan walaupun pelbagai tindakan sudah diambil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP).

Selepas memotong geran tahunan pasukan, tindakan memotong mata dalam liga juga sudah dikenakan oleh FAM dan FMLLP untuk membendung masalah itu.

Namun, masih ada pihak yang menganggap langkah itu 'kejam' kerana memberi implikasi buruk terhadap kedudukan pasukan dalam liga.

Apa yang peliknya, biarpun diperlakukan 'sekejam' itu, isu tunggakan tetap berlaku dan terus berlaku. Jadi, apa lagi tindakan yang boleh diambil untuk menguburkan terus masalah berkenaan?

Ada berpendapat menolak mata pasukan juga tidak memberi kesan, namun siapa lagi yang harus dihukum jika bukan pengurusan pasukan.

Sampai bila kita mahu melihat masalah ini terus berlaku dan pemain yang mengerah keringat di atas padang terus menjadi mangsa?

Harus diingat kebajikan pemain wajib dijaga kerana bola sepak adalah sumber pendapatan mereka dan tiada manusia yang sanggup bekerja tanpa gaji kerana mereka juga ada keluarga yang perlu ditanggung.

Sememangnya, pasukan bukan enggan membayar gaji pemain, tetapi mereka tidak memiliki dana kerana apa yang mereka laburkan di awal musim tidak setimpal dengan apa yang diperoleh, sekali gus menyebabkan tunggakan gaji pemain mula terjadi.

Sama seperti yang dikatakan penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa sebelum ini betapa jika 'dipukul mati' sekalipun, pasukan tidak mampu bayar tunggakan gaji pemain kerana tiada wang.

Justeru, semua pasukan perlu memandang perkara ini lebih serius dan tidak hanya mengejar pemain bernilai tinggi di awal musim tanpa melihat kepada kemampuan kewangan mereka.

Bukan mahu merendahkan pasukan yang tidak memiliki kewangan kukuh, namun mereka perlu 'ukur baju di badan sendiri' sebelum berbelanja besar untuk mempersiapkan pasukan.

Apa yang diharapkan, jadikanlah isu tunggakan gaji yang menimpa beberapa pasukan musim ini sebagai pengajaran supaya tidak lagi berulang untuk musim akan datang.

FAM dan FMLLP juga mungkin perlu terus memikirkan apa lagi langkah yang perlu dilaksanakan untuk menangani masalah ini.

Berita Harian X