Isnin, 11 September 2017 | 12:06pm
NEYMAR (kiri) dan Mbappe jadi sandaran utama PSG musim ini.

PSG sedia mara lebih jauh

PARIS: Paris Saint-Germain (PSG) akan melakukan sepak mula dalam usaha mencari gemilang pada Liga Juara-Juara di Celtic awal pagi Rabu ini dengan pembelian besar Neymar dan Kylian Mbappe.

Gergasi Perancis itu berharap pembelian besar pada penghujung musim boleh membantu impian pemilik mereka dari Qatar untuk merangkul Piala Eropah.

PSG membalas kekecewaan musim lalu apabila tewas dalam pemburuan gelaran Ligue 1 kepada Monaco dan kekalahan dalam kelompok 16 pasukan terakhir Liga Juara-Juara kepada Barcelona dengan memecahkan rekod dunia 222 juta euro (RM1.12 bilion) bagi mendapatkan Neymar dari Barca.

Ketika berbilion wang Qatar itu menghasilkan empat gelaran berturut-turut liga Perancis dari 2013-2016, prestasi berkenaan masih belum dilihat pada kejohanan Eropah.

Kemaraan terakhir PSG ke separuh akhir Liga Juara-Juara hadir pada 1995, dengan empat kali berturut-turut mereka tersingkir pada kelompok lapan terbaik diikuti kekalahan 6-1 pada perlawanan kedua di Camp Nou awal tahun ini selepas menewaskan 4-0 pada perlawanan pertama.

Namun dengan kehadiran Neymar dan Mbappe, harapan tinggi agar pasukan bimbingan Unai Emery dapat melupakan masalah saingan peringkat serantau.

"Kami lebih daripada bersedia untuk Liga Juara-Juara," kata pertahanan Thomas Meunier selepas membelasah Metz 5-1 pada Jumaat lalu.

"Kami berada dalam kumpulan yang bagus, kami boleh melihat di bangku simpanan hari ini dengan semua pilihan yang ada.

"Setiap pemain bermain untuk Liga Juara-Juara dan dengan pasukan yang kami ada tahun ini, kami mesti menunjukkan kami mahu lebih baik berbanding tahun sebelumnya." - AFP

Berita Harian X