Sabtu, 9 September 2017 | 6:39pm
JURULATIH skuad Bawah 19 Tahun (B-19) negara, Bojan Hodak masih belum berpuas hati dengan persembahan anak buahnya biarpun berjaya menewaskan Timor Leste 3-0 pada aksi ketiga Kejohanan B-18 AFF di Yangon, Myanmar, semalam. - Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal

B-18 AFF: Hodak belum puas hati

KUALA LUMPUR: Jurulatih skuad Bawah 19 Tahun (B-19) negara, Bojan Hodak masih belum berpuas hati dengan persembahan anak buahnya biarpun berjaya menewaskan Timor Leste 3-0 pada aksi ketiga Kejohanan B-18 AFF di Yangon, Myanmar, semalam.

Jurulatih kelahiran Croatia itu menjelaskan pasukannya tidak bermula dengan baik pada babak pertama dan melakukan banyak kesilapan, terutama ketika mengawal bola.

Justeru, beliau menuntut permainan lebih baik daripada semua pemain pada aksi menentang Kemboja di Stadium Thuwunna, esok, untuk mengesahkan tempat ke separuh akhir.

"Masih belum mencapai apa yang saya mahukan, tapi kami memperoleh tiga kemenangan dengan jaringan yang besar.

"Jadi saya tidak boleh terlalu merungut, mungkin kerana harapan saya terlalu tinggi. Bagi perlawanan esok, kami akan cuba mendapatkan kemenangan dan mara ke separuh akhir.

"Ia perlawanan yang penting, kami perlu bermula lebih serius, bukan seperti aksi semalam. Fizikal pemain Kemboja lebih kecil tetapi permainan mereka pantas dan kami perlu bijak menutup semua ruang," katanya ketika dihubungi.

Kemenangan ke atas Timor Leste itu menyaksikan Malaysia kekal di kedudukan teratas Kumpulan A dan berkongsi sembilan mata dengan Thailand.

Skuad muda negara meneruskan rekod kemenangan bersih dalam tiga perlawanan selepas menang 4-1 dan 3-1 ketika berdepan Laos dan Singapura sebelum ini.

Walaupun tidak berpuas hati dengan persembahan keseluruhan pasukannya, Hodak bagaimanapun memuji persembahan benteng pertahanan yang tidak melepaskan gol kepada Timor Leste.

"Mereka (Timor Leste) bermain dengan agresif tetapi pertahanan kita beraksi dengan baik dan saya lihat ia lebih baik berbanding perlawanan sebelum ini," katanya.

Berita Harian X