Khamis, 7 September 2017 | 6:41pm
KETUA jurulatih skuad Bawah 19 Tahun (B-19) negara, Bojan Hodak tekad benam Timor Leste. - Foto Osman Adnan

B-18 AFF: Misi buru kemenangan ketiga

KUALA LUMPUR: Skuad Bawah 19 Tahun (B-19) negara akan turun dengan misi memburu kemenangan ketiga berturut-turut pada kempen Kejuaraan B-18 Persekutuan Bola Sepak Asia Tenggara (AFF) 2017 berdepan Timor Leste di Stadium Aung San, Myanmar, esok.

Itu yang diharapkan jurulatih, Bojan Hodak walaupun sedar terpaksa melakukan beberapa perubahan berikutan masalah kecederaan dan keletihan yang dihadapi barisan pemainnya.

Hodak tetap yakin kemenangan 4-1 dan 3-1 ke atas Laos dan Singapura pada perlawanan sebelum ini, mampu menjadi pemangkin semangat buat anak buahnya meneruskan rentak kemenangan.

"Moral semua pemain berada pada tahap terbaik selepas mereka berjaya meraih dua kemenangan.

"Pada pertemuan dengan Singapura, saya buat tujuh pertukaran pemain, tapi kami masih boleh menang dan ia membuktikan semua pemain bersedia untuk diturunkan.

"Bagi perlawanan esok, saya perlu melakukan beberapa pertukaran dan saya harap sesiapa saja yang diturunkan akan melakukan yang terbaik," katanya ketika dihubungi.

Hodak mengesahkan penjaga gol, Azri Abdul Ghani dan penyerang, Zafuan Azeman yang mengalami kecederaan buku lali terpaksa diketepikan untuk aksi berdepan Timor Leste itu.

Hodak turut menuntut pemainnya tidak memandang mudah kemampuan Timor Leste walaupun lawan itu belum meraih sebarang kemenangan.

"Timor Leste adalah pasukan yang kuat dan dibarisi pemain yang memiliki fizikal sangat baik. Mereka tewas kepada Thailand dan seri dengan Kemboja, jadi sudah pasti mereka akan bermain habis-habisan," katanya.

Berita Harian X